Ikut teman lelaki, tapi lapor seakan diculik, polis harap orang awam jujur

Ikut teman lelaki, tapi lapor seakan diculik, polis harap orang awam jujur

Ketua Polis Kedah Fisol Salleh seru orang awam bersikap adil untuk pihak berkuasa berusaha sehabis baik buat pencarian.

Ketua Polis Kedah Fisol Salleh berkata polis juga mempunyai amanah justeru mengharapkan orang awam bertanggungjawab ketika membuat laporan individu hilang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis berharap orang ramai bersikap telus dan berterus terang ketika membuat laporan kes kehilangan individu agar tidak menggambarkan ia seolah-olah kes culik.

Ketua Polis Kedah Fisol Salleh, berkata pengadu perlu bersikap amanah dan bertanggungjawab terhadap aduan yang dikemukakan bagi memudahkan polis mengendalikan kes-kes orang hilang yang dilaporkan.

“Dalam kita kendalikan kes orang hilang…sebelum ini kena tunggu tempoh 24 jam, sekarang tidak lagi, namun sebelum terima laporan, kita mahu orang yang datang buat laporan bersikap jujur, kadang-kadang hilang sebab bergaduh, tak puas hati…kita bukan ‘ruang’ mencari jodoh.

“Kalau orang hilang berlaku kerana ikut teman lelaki, kena telus…berterus-terang, beritahu kalau berlaku perselisihan faham, tapi ada yang ceritakan seolah-olah kena culik,” katanya menurut Bernama selepas menghadiri program Town Hall Discussion Kontinjen Kedah 2024, di Sungai Petani.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes orang hilang yang sering dilaporkan akhir-akhir ini.

Mengulas lanjut, Fisol berkata polis memandang serius terhadap semua laporan berhubung kehilangan individu dan tidak mahu kes kehilangan itu berakhir dengan kematian.

“Kebarangkalian untuk orang hilang tidak ditemui juga tinggi. Kita nak orang ramai bersikap adil dengan polis dan polis akan berusaha sehabis baik membuat pencarian.

“Katakan dua kes yang diadukan tak betul, datang kes ketiga, betul…polis juga kena, sebab itu kita kena jujur, jangan sambil lewa kena ambil perkara ini sebagai amanah dan tanggungjawab. Polis ada amanah dan tanggungjawab, begitu juga masyarakat,” katanya.

Walaupun di Kedah ada peningkatan terhadap laporan membabitkan kes orang hilang, namun ia disifatkan tidak ketara, katanya.

“Kita sentiasa dalam keadaan bersiap siaga, kalau ada kes, kita akan maklumkan semua agensi berkenaan termasuklah yang di sempadan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.