5 dekad Petronas agih kekayaan negara

5 dekad Petronas agih kekayaan negara

Pengerusi pertama Petronas Tengku Razaleigh Hamzah mengimbas bagaimana syarikat minyak dan gas negara itu berkongsi kekayaan secara adil kepada semua negeri.

petronas-HQ
Petronas mencatatkan pendapatan melebihi RM343.6 bilion pada tahun kewangan 2023, melebihi pendapatan syarikat-syarikat terbesar di Bursa Malaysia. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Apabila kerajaan menubuhkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pada 1974, terdapat satu prinsip yang menjadi asas kepada dasarnya – syarikat minyak nasional itu dimiliki oleh rakyat.

Seperti yang ditegaskan oleh pengerusi pertamanya, Tengku Razaleigh Hamzah, Petronas sentiasa menjadi penjaga kekayaan minyak dan gas milik rakyat.

“Oleh sebab itu, ia tidak boleh dimiliki oleh mana-mana kerajaan, sama ada persekutuan atau negeri. Ia adalah syarikat milik rakyat,” katanya kepada FMT.

Prinsip inilah yang menjadi asas kepada tadbir urus korporat yang tidak boleh dipersoalkan.

Fokus yang sama terhadap integriti, ditambah dengan sejarah pengurusan yang baik, telah membawa kepada kejayaan korporat Petronas dan kenaikannya sebagai syarikat Fortune 500.

Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Petronas tidak akan mampu menyumbangkan berbilion-bilion ringgit kepada negara jika tidak kerana kualiti-kualiti tersebut.

Langkah pertama yang betul

Tengku Razaleigh, yang diberi tugas untuk menubuhkan syarikat minyak nasional oleh perdana menteri ketika itu, Abdul Razak Hussein, berkata keutamaannya adalah memilih hanya orang yang cukup berpengetahuan untuk menguruskannya.

“Kita mendengar tentang syarikat minyak nasional yang jatuh kerana ketidakcekapan, kejahilan terhadap kuasa pasaran atau kerana ketamakan dan rasuah,” katanya kepada FMT sempena ulang tahun ke-50 Petronas pada 17 Ogos.

Dalam kalangan ahli akademik, frasa ‘sumpahan sumber’ digunakan untuk menggambarkan salah guna dan penyelewengan keuntungan dari minyak dan gas di negara-negara seperti Nigeria, Venezuela, Congo, dan Angola.

Sebagai contoh, Nigeria adalah pengeluar minyak keenam terbesar dunia tetapi kebanyakan wang dari sumber itu telah dibazirkan oleh ahli politik yang korup dan tadbir urus yang lemah.

Berdasarkan kebimbangan tersebut, Tengku Razaleigh berkata, beliau berbincang dengan Razak yang turut memberikannya tugas untuk merangka Akta Kemajuan Petroleum.

“Saya memerlukan orang yang baik untuk memulakannya,” katanya.

“Permulaan adalah sangat penting. Jika anda bermula dengan tabiat buruk, anda akan berakhir dengan tabiat buruk,” katanya.

Menjadikan ia milik Malaysia

Pada 1960-an, Abdul Rahman Ya’kub, yang ketika itu adalah ketua menteri Sarawak, yang pertama mencadangkan idea untuk mengambil alih kawalan ke atas sumber minyak dan gas negara melalui sebuah badan berkanun.

Rahman kemudiannya mengubah cadangannya kepada penubuhan sebuah syarikat minyak nasional dan bahkan mencadangkan Tengku Razaleigh dilantik sebagai pengerusi pertamanya.

Cadangan ini mendapat perhatian pada 1970-an ketika krisis minyak global melanda.

Perang yang meletus di Asia Barat dan sekatan minyak yang dikenakan oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menyebabkan harga minyak mentah melonjak dari USD1.50 setong pada 1972 kepada USD12 pada 1974.

Ini menjadikan cadangan Rahman dilihat perlu dilaksanakan segera.

Bagi kerajaan persekutuan, pulangan dari perniagaan minyak juga membolehkan agenda pembangunan negara diteruskan.

Dengan mengambil alih kawalan ke atas sumber ini bagi pihak rakyat, kerajaan dapat memastikan kekayaan tersebut diagihkan secara saksama ke seluruh negara, memastikan tiada negeri yang ketinggalan dalam mana-mana program pembangunan.

Ini menjadi lebih penting memandangkan tidak semua negeri kaya dengan sumber asli.

Negeri-negeri seperti Pulau Pinang, yang tidak mempunyai sumber asli, boleh bergantung kepada kelebihan mereka yang mendahului dari segi perdagangan, manakala negeri-negeri seperti Perlis pula bergantung sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan.

Sebagai wilayah pertama di Malaysia yang menghasilkan minyak, Sarawak berada pada kedudukan yang unik untuk membantu menanggung kos pembangunan negara.

Ini sangat berbeza dengan tahun-tahun awal selepas minyak mula ditemui di Miri pada 1910.

Proses penerokaan dan pengeluaran minyak ketika itu dijalankan oleh syarikat Royal Dutch Shell, yang kini dikenali sebagai Shell plc.

Walaupun sumber tersebut adalah milik negeri, kerajaan Sarawak tidak mempunyai kawalan atau pengaruh terhadap bagaimana sumber tersebut dieksploitasi.

Shell diberi kebebasan sepenuhnya untuk mengeksploitasi sumber tersebut dan hanya perlu membayar cukai yang ditetapkan kepada Sarawak.

Menguruskan kejayaan

Petronas terus menjana pendapatan yang besar untuk Malaysia, dan menurut Tengku Razaleigh, ini menimbulkan persoalan penting: “Bagaimana kita menguruskan kejayaan ini?”

Jawapannya, katanya, terletak pada kualiti kepimpinan dan kakitangannya.

“Adakah kita mempunyai orang yang cukup pengetahuan, cukup bersedia, dan cukup cekap untuk mengendalikan sebuah syarikat minyak?

“Petronas bukan sekadar syarikat minyak biasa. Ia adalah syarikat minyak negara,” tegasnya sambil menekankan kepentingan kepakaran dan integriti dalam meneruskan kejayaan syarikat itu.

Pada tahun kewangan 2023, Petronas mencatatkan pendapatan melebihi RM343.6 bilion, melebihi pendapatan syarikat-syarikat terbesar di Bursa Malaysia.

Tahun yang sama, Petronas mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM80.7 bilion dan menyumbang RM40 bilion dalam bentuk dividen kepada kerajaan.

Namun, impak Petronas kini telah jauh melangkaui penerokaan minyak.

Mengubah negara

Sejak lima dekad lalu, Petronas memainkan peranan penting dalam mengwujudkan industri-industri baru dalam rantaian bekalannya.

Penyedia perkhidmatan baru telah muncul untuk memenuhi permintaan khusus dalam penerokaan dan penapisan minyak, logistik, dan peruncitan.

Tengku Razaleigh berkata bahawa kemunculan sektor-sektor ini menjana ribuan pekerjaan – baik yang berkaitan secara langsung mahupun tidak langsung dengan minyak dan gas.

“Ribuan orang kini terlibat dalam industri yang berkaitan dengan minyak dan gas,” tambahnya.

Beliau juga menyatakan bahawa impak luas sektor minyak dan gas turut menyerlahkan peranan Petronas dalam menyatukan tiga wilayah di Malaysia, iaitu Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia.

“Potensi kekayaan minyak sebagai penyumbang kepada perpaduan dan pembangunan negara tidak boleh dinafikan,” tambahnya.

Pengembangan global

Petronas juga menembusi perniagaan berkaitan minyak di seluruh dunia dan jejaknya kini meliputi lebih daripada 100 negara.

Aktiviti penerokaannya telah menghasilkan lapangan minyak dari Indonesia hingga ke Suriname.

Ia mempunyai blok penerokaan laut dalam di Teluk Mexico, aktiviti pengeluaran gas asli di Kanada, dan blok penerokaan di Brazil.

Di UK, Petronas terlibat dalam pemasaran dan perdagangan komoditi melalui anak syarikatnya Petco Trading (UK) dan ia merupakan pembekal utama LNG kepada China dan Jepun.

Rangkaian perniagaan Petronas yang luas dan pertumbuhan yang berterusan, berserta pematuhan ketat terhadap keperluan tadbir urus korporat, meletakkannya di tangga ke-167 dalam senarai Global Fortune 500, satu-satunya syarikat Malaysia yang berjaya tersenarai.

Melihat ke hadapan

Apabila tumpuan terhadap kelestarian semakin meningkat, syarikat minyak terpaksa mengambil langkah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.

Sebagai contoh, Petronas menyasarkan untuk mengehadkan pelepasan gas rumah hijau dari operasi di Malaysia kepada 49.5 juta tan setara karbon dioksida tahun ini, berbanding 54.03 juta tan pada 2022.

Ia juga sedang meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 3,000MW tahun ini dengan, antara lain, mempergiat pelaburan dalam hidrogen.

Perubahan dalam permintaan pengguna, dengan penekanan yang lebih besar terhadap ketelusan dan kebertanggungjawapan di peringkat tempatan dan global, turut memerlukan peningkatan dalam piawaian di pelbagai aspek, daripada pengeluaran kepada kebajikan pekerja.

Bagaimanapun, semangat pengagihan saksama sumber minyak dan gas negara akan terus kekal.

Ketika Petronas memasuki setengah abad yang baru, ia akan bergantung pada pelaburan strategik untuk memastikan pertumbuhan dan kestabilan jangka panjang sambil terus mengekalkan haluan yang terbukti berjaya dalam pengurusan cemerlang dan tadbir urus korporat.

Seperti yang dinyatakan oleh Anwar, Petronas memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia dan potensinya untuk memacu pertumbuhan yang mampan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.