Rosmah gagal tangguh prosiding saman syarikat barang kemas

Rosmah gagal tangguh prosiding saman syarikat barang kemas

Hakim Mahkamah Tinggi KL Ong Chee Kwan menolak permohonan isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu dengan kos RM5,000.

Rosmah Mansor
Global Royalty memfailkan saman pada 29 Mei tahun lepas, mendakwa Rosmah Mansor berbohong dengan mengatakan bahawa 44 barang kemas yang dihantar kepadanya disita oleh kerajaan Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Rosmah Mansor menangguhkan prosiding saman difailkan terhadapnya oleh syarikat barang kemas Lubnan, Global Royalty Trading SAL, berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.

Peguamnya, Rajivan Nambiar berkata, Hakim Ong Chee Kwan menolak permohonan Rosmah dengan kos RM5,000.

Katanya, permohonan yang difailkan pada 7 Jun lepas itu adalah untuk menangguhkan prosiding saman sementara menunggu keputusan rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk memasukkan kerajaan dan polis sebagai pihak ketiga dalam kes itu.

“Alasannya adalah sekiranya prosiding di hadapan Mahkamah Tinggi diteruskan, ia tidak sepatutnya menjejaskan prosiding pihak ketiga sekiranya Rosmah berjaya dalam rayuan itu,” katanya.

“Mahkamah hari ini berkata, sekiranya Rosmah berjaya dalam rayuannya, mahkamah akan memberi arahan baharu mengenai prosiding antara Rosmah dan pihak ketiga. Sehubungan itu mahkamah tidak membenarkan permohonan penangguhan.”

Rajivan berkata, saman itu ditetapkan untuk perbicaraan pada 2 hingga 6 Jun tahun depan.

Global Royalty memfailkan saman itu pada 29 Mei tahun lepas, mendakwa Rosmah berbohong dengan mengatakan bahawa 44 barang kemas, termasuk rantai berlian, gelang, dan tiara yang dihantar kepadanya oleh ejen syarikat disita oleh pihak berkuasa Malaysia bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Global Royalty juga mendakwa, isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.

Syarikat itu pada mulanya menyaman Rosmah pada 26 Jun 2018 dan menuntut dia memulangkan kembali 44 unit barangan kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih, atau membayar harga untuk semua barangan kemas berkenaan yang berjumlah USD14.79 juta.

Saman itu bagaimanapun ditarik balik pada 2019.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.