Penjawat awam serbu perkhidmatan kalkulator gaji

Penjawat awam serbu perkhidmatan kalkulator gaji

Ramai ingin tahu jumlah sebenar kenaikan susulan pengumuman perdana menteri.

Inisiatif perkhidmatan kalkulator gaji di reruai JPA menyediakan gambaran tepat pendapatan akan dinikmati penjawat awam. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perkhidmatan kalkulator gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) diserbu ratusan penjawat awam yang teruja untuk mengetahui jumlah ‘durian runtuh’ diperoleh selepas SSPA dikuat kuasa pada 1 Dis.

Penjawat awam daripada pelbagai peringkat mula menggunakan perkhidmatan empat papan layar perkhidmatan kalkulator gaji yang disediakan di reruai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA) 2024.

Kalkulator itu merupakan inisiatif JPA bagi memberikan gambaran kenaikan gaji setiap penjawat awam dan jumlah dipaparkan adalah tanpa elaun.

Anggota polis bantuan Jabatan Perdana Menteri, Abdul Aiman Afiq Abdullah ketika ditemui, berkata perkhidmatan kalkulator itu menyediakan gambaran tepat kenaikan gaji diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kenaikan amat besar, nampak macam sikit (kenaikan) tetapi bila kira di kalkulator ini banyak dah puas hati.

“Perkhidmatan (kalkulator gaji) banyak bantu dan kenaikan gaji ini membantu penjawat awam di peringkat bawahan. Oleh itu, penjawat awam tekad perbaiki skop kerja dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Ashrul Md Dom memuji inisiatif JPA yang memperkenalkan kalkulator gaji untuk memastikan penjawat awam mendapat kefahaman jelas mengenai kenaikan itu.

“Ia memudahkan penjawat awam kira kenaikan gaji, kalau tengok kertas pembentangan ia agak rumit.

“Kenaikan gaji ini adalah untuk jaga kebajikan penjawat awam tetapi kita kena tambahkan kualiti penyampaian perkhidmatan untuk masyarakat,” katanya.

Pembantu Operasi Gred 11 di IPD Kuantan Wan Asni Wan Mat, berkata pengumuman kenaikan gaji oleh perdana menteri perlu dilihat sebagai pendorong memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Kenaikan gaji amat memberangsangkan dan perkhidmatan kalkulator beri gambaran apa yang ingin disampaikan perdana menteri,” katanya.

JPA memaklumkan perkhidmatan kalkulator gaji SSPA itu dijangka boleh diakses di laman web rasmi SSPA dalam masa terdekat.

Terdahulu, Anwar mengumumkan pelarasan gaji 15% kepada pegawai kumpulan pelaksana dan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional.

Beliau yang juga menteri kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai kumpulan pengurusan tertinggi (KPT).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.