
Muhamad Salleh Othman, 58, bapa kepada Muhamad Hafiz, 32, penunggang p-panggilan yang menjadi antara mangsa nahas itu berkata, beliau masih berasa sedih, namun reda dengan apa yang berlaku.
“Saya sering terbayang wajahnya biarpun sudah setahun berlalu. Kematiannya secara mengejut, amat sukar untuk diterima, namun kami reda, semuanya sudah tertulis,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Sidam Kiri hari ini.
“Selepas ketiadaan arwah, saya dapat dua orang cucu … cucu lelaki saya yang berusia 10 bulan, Shah Haidar, seiras sangat dengan arwah … itulah jadi pengubat rindu saya.”
Sebagai memperingati setahun pemergian anaknya, Muhamad Salleh mengadakan kenduri tahlil dan bacaan Yasin di rumah mereka hari ini.
Sementara itu, Muhamad Salleh menyatakan beliau tidak merancang untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung nahas terbabit.
Dalam kejadian 17 Ogos tahun lepas, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi terhempas ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Subang.
Nahas itu mengorbankan 10 nyawa, iaitu lapan di dalam pesawat (enam penumpang dan dua anak kapal), seorang pemandu e-panggilan dan seorang penunggang motosikal.
Terdahulu, laporan yang dimuat naik di laman web Kementerian Pengangkutan hari ini menyatakan, nahas terbabit disahkan berpunca daripada kehilangan kawalan semasa penerbangan disebabkan masalah protokol yang tidak disengajakan.
Laporan akhir yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mendapati, punca utama kemalangan itu ialah peluasan secara tidak sengaja daripada ‘lift dump spoilers’ yang berkemungkinan besar dilakukan oleh juruterbang semasa melakukan pemeriksaan sebelum pendaratan.
Tindakan itu menyebabkan kehilangan daya angkat secara tiba-tiba, seterusnya mengakibatkan kehilangan kawalan yang dahsyat sehingga berlakunya nahas.