
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga Nidza Afham berhubung perkara itu.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan yang tidak betul serta tidak dipastikan kesahihannya.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati mengeluarkan sebarang spekulasi atau komen secara melampau,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, mayat penyanyi dan pempengaruh berusia 23 tahun itu yang ditemukan di Sungai Klang menimbulkan spekulasi bahawa terdapat unsur jenayah.
Dalam hal itu, keluarganya dilaporkan meminta orang ramai termasuk media menjaga sensitiviti dan perasaan mereka semasa mengulas kejadian tersebut.
Semalam, Hussein mengesahkan hasil awal bedah siasat dijalankan ke atas mayat Nidza Afham mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal dengan siasatan diteruskan sebagai mati mengejut (SDR).