
Ketua Polis Alor Gajah, Ashari Abu Samah, berkata kertas siasatan kes itu akan dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya petang ini atau selewat-lewatnya esok untuk tindakan lanjut.
“Siasatan masih berlangsung. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, apabila siasatan sudah lengkap, kita dapat arahan daripada pengarah pendakwaan negeri (PPN).
“Saya tidak boleh ‘confirm’ bila kertas siasatan akan selesai disemak oleh PPN, yang pasti petang ini, IO (pegawai penyiasat) akan rujuk ke PPN untuk dapatkan arahan tuduh. Paling lewat esok atau Isnin, kita perlu tuduh suspek ini,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, Ketua Polis Melaka, Zainol Samah juga akan mengeluarkan kenyataan petang ini atau selewat-lewatnya esok berkaitan kes itu, termasuk bila suspek 37 tahun itu akan dihadapkan ke mahkamah.
Ditanya sama ada kertas siasatan sudah lengkap, beliau berkata, pihaknya merujuk PPN berdasarkan maklumat diperoleh setakat ini.
“Dengan apa yang telah ada, kita akan rujuk dulu (PPN). Untuk tindakan lain, kita akan teruskan nanti.”
Awal Januari lalu, media melaporkan mayat seorang wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki yang ditemui dalam tong sampah di Pulau Sebang, Alor Gajah pada 31 Dis 2023 disahkan milik Istiqomah, 33, selepas ujian DNA terhadap ibu mangsa.
Susulan itu, sepasang suami isteri ditahan di Chemor, Perak pada 6 Ogos lalu. Suspek lelaki dikenal pasti kenalan mangsa ketika belajar di universiti.
Si isteri dibebaskan dengan jaminan polis 12 Ogos lalu, manakala suaminya yang juga suspek utama disambung reman tujuh hari mulai kelmarin untuk membantu siasatan kes pembunuhan guru Sekolah Kota Masai 3 di Pasir Gudang itu.