
Azlina Wahab, 45, dari Kampung Renok Baru berkata walaupun bantuan itu membantu menyerap kos pembelian diesel, ia tidak mencukupi susulan peningkatan perjalanan menghantar hasil pekebun kecil ke kilang.
Katanya, keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa menaikkan kos upah mengangkut buah kelapa sawit kepada RM250 bagi satu perjalanan berbanding RM150 sebelum ini.
“Ada peneroka dan pekebun kecil (kos mengangkut buah kelapa sawit naik) mengeluh tapi apa kami boleh buat, harap kerajaan dapat perluas SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) kepada kami.
“Secara tak langsung boleh bantu dengan kembalikan upah asal bila dapat bantuan subsidi diesel,” katanya kepada FMT.
SKDS antara inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan beban pengusaha sektor pengangkutan awam darat dan barangan dengan penerima kad fleet boleh membeli diesel bawah harga runcit.
Mulai 10 Jun lalu, kerajaan menetapkan harga bahan api itu pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.

Menerusi Budi Madani, kerajaan menyediakan bantuan RM200 sebulan melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani dan pekebun kecil komoditi.
Bagi peneroka ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Asap, Omar Mohamad, 62, mereka yang tidak mempunyai kenderaan pengangkut sesuai tiada pilihan selain membayar kos upah tinggi itu.
“Kalau tak macam mana nak hantar buah ke kilang, kami yang usaha ladang secara sendiri ini terasa,” katanya.

Sementara itu, Saloma Hassan, 60, meminta Felda melalui Felda Technoplant Sdn Bhd (FTPSB) tidak memotong terlalu tinggi daripada hasil bulanan ladang sawit miliknya yang diusaha agensi tersebut.
“Kami faham kos barang naik selepas diesel naik dan berterima kasih ladang diurus baik.
“Tetapi kami mohon dipertimbang supaya potongan tidak terlalu tinggi,” kata peneroka dari Felda Sungai Perasu.
Sabtu ini, PRK akan diadakan di DUN Nenggiri yang menyaksikan pertembungan Barisan Nasional dan PAS.