
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa, berkata berdasarkan siasatan pihaknya yakin lelaki berusia 22 tahun itu adalah orang dikehendaki berhubung kes berkenaan.
Beliau berkata pemain bola sepak itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur esok, bawah Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958, Seksyen 336 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana membawa kerambit dan membaling bom petrol.
“Polis kenal pasti pemain bola sepak itu sebagai suspek kes ‘molotov cocktail’ berdasarkan siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup dan pengecaman,” katanya dalam sidang media selepas majlis serah terima tugas ketua polis Putrajaya.
Lelaki itu dikesan membawa kerambit ke padang ketika berlaku perselisihan faham dalam perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA pada 4 Ogos lalu.
Suspek ditahan selepas gambar kejadian itu menjadi tular di media sosial.