
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu dan masih menjalankan siasatan lanjut.
“Itu tidak berlaku (beri ubat kepada pesakit), sudah pasti perkara tersebut bukan mudah dilakukan penyamar kerana dia tiada sebarang kemahiran.
“Dia hanya menyamar dan membahasakan dirinya MO (pegawai perubatan),” katanya pada Taklimat Media Kesihatan Mental Dan Program MySAVE serta Pelaporan Media Selamat dan Bertanggungjawab berkaitan Tingkah Laku Bunuh Diri, di sini.
Beliau berkata, penyamaran remaja perempuan 14 tahun itu terbongkar apabila petugas HSIS curiga dengan kelakuan dan fizikalnya yang terlalu muda.
Susulan insiden itu, menurutnya, HSIS akan menambah baik aspek keselamatan.
“Pusat kesihatan dan hospital besar sememangnya biasa menerima pelatih dan jumlah kakitangan adalah ribuan di dalam fasiliti tersebut. Sudah pasti kita akan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelak perkara ini berulang.”
Pada 9 Ogos lepas, sebuah media tempatan melaporkan sepanjang dua bulan berada di hospital itu, remaja terbabit berlakon pegawai perubatan pediatrik dengan merawat pesakit serta memberi ubat-ubatan.
Terdahulu, media melaporkan remaja itu ditahan di lobi HSIS pada 9 pagi 8 Ogos lalu ketika cuba mendaftarkan diri di kaunter untuk memasuki hospital menggunakan identiti palsu.
Dalam perkembangan berkaitan, Lukanisman berkata, insiden membabitkan remaja itu memperlihatkan keperluan penting pesakit mempunyai masalah kesihatan mental melakukan sesi rawatan secara berterusan.
“Pada masa sama, kita bimbang penerimaan pesakit terhadap kesihatan itu kerana masih ada masyarakat yang mempunyai stigma negatif terhadap individu mempunyai masalah mental.
“Kita perlu sedar kesihatan mental boleh berlaku kepada sesiapa saja yang sihat fizikal dan mereka memerlukan rawatan di pusat primer kerana kita menyediakan rawatan.”
Terdahulu, Lukanisman ketika berucap berkata, pegawai perhubungan awam dan pengamal media memainkan peranan amat penting dalam penulisan serta pelaporan berkaitan tingkah laku bunuh diri.
“Cara pelaporan tentang tingkah laku bunuh diri boleh memberi kesan positif atau negatif kepada masyarakat.
“Pelaporan tingkah laku bunuh diri dengan cara berhemah, sensitif dan bertanggungjawab boleh membantu mencegah tragedi tersebut daripada berulang, mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap orang yang mengalami masalah mental, terutamanya yang mempunyai tingkah laku bunuh diri (vulnerable people).”