Tindakan tatatertib serta-merta terhadap polis disyaki cederakan OKU

Tindakan tatatertib serta-merta terhadap polis disyaki cederakan OKU

Tindakan diambil susulan siasatan dalaman oleh JIPS pada awal Jun, kata ketua polis negara.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata anggota yang melakukan kesalahan tatatertib berdepan tindakan seperti tahan kenaikan gaji, gantung kerja, dan turun pangkat.
PETALING JAYA:
Tindakan tatatertib dilaksanakan serta-merta terhadap anggota polis yang disyaki mencederakan seorang pemandu e-panggilan yang juga kurang upaya di sebuah hotel di ibu negara.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata tindakan diambil susulan siasatan dalaman oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada awal Jun lalu.

Tegasnya, mana-mana anggota yang melakukan kesalahan tatatertib berdepan tindakan seperti amaran, tahan kenaikan gaji, gantung kerja, dan turun pangkat.

“Tindakan terhadap anggota yang melakukan kesalahan ini sudah dilaksanakan pada peringkat awal lagi sebaik pihak JIPS selesai menjalankan siasatan dalaman.

“Siasatan terhadapnya juga turut dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan,” katanya lapor Berita Harian.

Beliau mengulas persoalan dibangkitkan seorang peguam, N Surendran, yang mewakili mangsa, Ong Ing Keong, mengenai tindakan oleh polis dalam kes berkenaan.

Sebelum ini dilaporkan seramai 12 individu dirakam keterangan berhubung kes ini. Kertas siasatan juga dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya selepas mendapat arahan siasatan lanjut pada 22 Julai.

Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh kejadian seorang pegawai polis pengiringnya yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya pada 28 Mei.

Tunku Ismail yang dimaklumkan kejadian itu sehari selepasnya menggesa pasukan pengiring keselamatan polis terbabit untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.

Tunku Ismail turut bertitah susulan kejadian itu ada pihak cuba mengaitkannya dengan institusi diraja yang disifatkan baginda sebagai tidak wajar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.