Muhammad Yunus jamin lindung semua rakyat Bangladesh, kata Anwar

Muhammad Yunus jamin lindung semua rakyat Bangladesh, kata Anwar

Bangladesh berada dalam situasi tidak menentu termasuk serangan ke atas kumpulan minoriti, yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Sheikh Hasina.

anwar yunus
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, ketua penasihat kerajaan interim Bangladesh Muhammad Yunus ada menjemputnya ke negara itu bagi mengukuhkan hubungan persaudaraan antara dua negara.
PETALING JAYA:
Ketua penasihat kerajaan interim Bangladesh Muhammad Yunus memberi jaminan akan melindungi semua rakyat Bangladesh termasuk golongan minoriti, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Perkara itu katanya dimaklumkan dalam perbualan telefon kedua-dua pemimpin itu malam tadi.

“Saya juga gembira dengan jaminan yang diberikan oleh beliau untuk melindungi dan memberi layanan yang saksama kepada semua warga Bangladesh termasuk golongan minoriti,” kata Anwar di Facebook.

Anwar juga menyatakan kesediaan untuk membantu Bangladesh mengembalikan semula keamanan di negara itu.

“Prof Yunus mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Malaysia. Justeru, saya telah memberi jaminan kesediaan Malaysia untuk membantu Bangladesh mengembalikan keamanan dan ketenteraman ke arah pembangunan semula negara itu,” katanya.

Anwar berkata, Yunus turut menjemputnya ke Bangladesh bagi mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan di antara kedua-dua negara.

Yunus merupakan pemenang Hadiah Keamanan Nobel pada 2006 mengangkat sumpah sebagai pemimpin sementara Bangladesh.

Beliau dipilih selepas pemberontakan yang dipimpin mahasiswa menamatkan pemerintahan 15 tahun Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang melarikan diri ke India.

Beberapa perniagaan dan kediaman dimiliki kumpulan majoriti Hindu diserang selepas Hasina meletak jawatan, dengan pihak diserang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan bekas perdana menteri itu.

Sebelum ini, bekas pemimpin DAP, P Ramasamy dan bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago antara mengkritik Anwar kerana tidak mengecam secara terbuka serangan ke atas minoriti Bangladesh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.