
Setakat ini, katanya, 337 permohonan penandaan logo MySTI diterima, dengan 225 daripadanya telah diluluskan.
Beliau berharap penyelidik, pemilik syarikat dan teknopreneur tempatan segera memanfaatkan penandaan logo MySTI.
Chang berkata, MySTI diperkenalkan Mosti pada Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) 2023 bagi memperkasakan lagi aktiviti pengkomersialan R&D&I tempatan.
“Melalui penandaan logo MySTI dan seterusnya dihimpunkan dalam satu inventori di mana produk, teknologi serta perkhidmatan ini akan diberikan akses dan keutamaan dalam perolehan kerajaan,” katanya semasa berucap pada Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Indeks Inovasi Malaysia
Chang berkata, kementeriannya sedang membangunkan Indeks Inovasi Malaysia (MII) yang antara lain berperanan meningkatkan prestasi inovasi di peringkat negeri.
Katanya, inisiatif itu mampu menyumbang pencapaian prestasi negara dalam Indeks Inovasi Global (GII).
“Dengan adanya pemantauan KPI dan inisiatif sebegini, ia akan mendorong semua pihak, bukan sahaja di peringkat kerajaan, industri dan akademik.
“Penglibatan orang awam juga penting dalam memainkan peranan masing-masing bagi menyumbang kepada peningkatan kedudukan negara dalam ranking GII supaya Malaysia dapat berdiri setanding negara maju lain.”
Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan kedaulatan teknologi negara, kementeriannya menyediakan enam dasar dan 12 pelan hala tuju.
Menurutnya, kedaulatan teknologi akan memberi keupayaan kepada negara menyediakan asas ekonomi kukuh berdasarkan rantaian produk atau teknologi mempunyai pertumbuhan serta bernilai tinggi.
“Berdasarkan kepada dasar atau pelan hala tuju yang dilancarkan, anggaran keseluruhan sumbangan sektor strategik Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) kepada KDNK negara dan global berjumlah RM9.21 trilion menjelang 2030.”