Isu tanah Kesedar, Annuar cadang kerajaan negeri beri terus kepada peneroka

Isu tanah Kesedar, Annuar cadang kerajaan negeri beri terus kepada peneroka

Pengarah operasi Perikatan Nasional PRK Nenggiri membuat gesaan itu jika Kesedar masih tidak bersungguh menyelesaikan isu tanah kepada peneroka.

Annuar Musa turut mendakwa ada di antara tanah peneroka diuruskan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan masih belum dijelaskan bayaran premium. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Annuar Musa mencadangkan supaya tanah selian Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diberikan terus oleh kerajaan negeri kepada peneroka tanpa melalui agensi kerajaan pusat terbabit selepas didakwa gagal menyelesaikan isu pemilikan tanah sejak berpuluh tahun lalu.

Pengarah Operasi Perikatan Nasional (PN) PRK Nenggiri itu membuat gesaan berkenaan jika pengurusan Kesedar masih tidak bersungguh menyelesaikan isu tanah kepada peneroka biarpun sudah diluluskan permohonan Hakmilik Sementara (QT) oleh kerajaan negeri.

“Kalau Kesedar terus bermain ‘silap mata’, saya cadangkan kepada kerajaan negeri supaya permohonan (tanah peneroka) dibuat terus kepada kerajaan negeri dan kita (kerajaan negeri) terus beri kepada rakyat (tanpa perlu diurus Kesedar), barulah selesai masalah ini,” katanya ketika berucap sempena Pelancaran Manifesto calon PN PRK Nenggiri di Renok Baru, semalam.

Annuar mendakwa, ada di antara tanah peneroka diuruskan kesedar masih belum dijelaskan bayaran premium.

“Kerajaan negeri telah luluskan QT kepada kesedar, di Paloh sahaja 28 tahun sudah lulus dengan premium RM7.1 juta tapi sampai hari ini belum lagi dijelaskan.

“Di Rantau Manis permohonan untuk 600 lot tanah rakyat sudah lama kerajaan negeri luluskan dan dikenakan premium RM900,000, dan (Kesedar) bayar RM200,00 tetapi RM600,000 sampai sekarang belum dibayar lagi. Namun dia (BN) menjaja kononnya sekatan adalah kerajaan negeri,” katanya.

Isu membabitkan tanah Kesedar menjadi polemik apabila Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pada 3 Ogos lalu mendakwa agensi itu tidak memproses ribuan lot tanah diluluskan kerajaan negeri untuk diberikan kepada peneroka.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata Kesedar akan menyerahkan hak milik tanah seluas 7,000 hektar kepada peneroka dalam tempoh terdekat.

Dalam perkembangan lain, Annuar turut menolak dakwaan kononnya isu masalah air yang dialami penduduk Orang Asli disebabkan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikannya.

“Bekalan air di pendalaman kampung Orang Asli peruntukan disalurkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan ia bertanggungjawab tentang bekalan bukan di bawah kerajaan negeri.

“Cuba pergi ke Pos Orang Asli, ada di antara kawasannya ada tangki, ada tong, ada rumah empangan. Bagaimanapun, pam air gagal berfungsi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.