Takut isteri marah, warga emas buat repot palsu disamun

Takut isteri marah, warga emas buat repot palsu disamun

Polis berkata warga emas itu mengaku meminjamkan gajinya kepada seorang kenalan wanita dikenali sejak tiga tahun lalu.

Ketua Polis Kemaman Hanyan Ramlan berkata lelaki itu mengaku kejadian samun tidak pernah berlaku dan membuat laporan palsu akibat takut memberitahu isteri gajinya habis digunakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pengawal keselamatan membuat laporan palsu hanya kerana takut dimarahi isteri selepas gajinya habis dibelanjakan dan dipinjamkan kepada kenalan wanita.

Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan, berkata lelaki 65 tahun itu membuat laporan di Balai Polis Chukai kira-kira 8 pagi semalam mendakwa mengeluarkan wang di sebuah stesen minyak di Kijal sebelum pulang ke rumahnya di Teluk Kalong.

Menurutnya, warga emas itu mendakwa keretanya ditahan seorang lelaki Rohingya meminta bantuan menghantar rakannya terbaring ke klinik, sebaik tiba di Jalan Perindustrian Telok Kalong.

“Ketika turun dari kenderaan dan pergi melihat lelaki terbaring itu, lelaki Rohingya yang menahan keretanya mengacukan pisau di belakang, manakala lelaki terbaring itu bangun dan mengacukan parang di perutnya,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, lelaki Rohingya itu mengambil wang tunai RM1,100 dalam poketnya, sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal berwarna merah.

Hasil siasatan polis, katanya, lelaki itu akhirnya mengaku kejadian samun tidak pernah berlaku dan membuat laporan palsu akibat terdesak serta takut memberitahu isteri gajinya habis digunakan.

Hanyan berkata, lelaki terbabit juga mengaku meminjamkan gajinya kepada seorang kenalan wanita dikenali sejak tiga tahun lalu.

“Siasatan lanjut mendapati pengawal keselamatan itu tiada rekod lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.