Shah Firdaus ke separuh akhir, harapan emas masih membara

Shah Firdaus ke separuh akhir, harapan emas masih membara

Pelumba trek negara itu mengubat kedukaan susulan tersingkirnya Azizulhasni Awang.

Muhammad Shah Firdaus Sahrom
Shah Firdaus Sahrom lolos ke separuh akhir dalam acara keirin lelaki pada Olimpik Paris 2024, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mara ke separuh akhir acara keirin lelaki pada Olimpik Paris 2024, sekali gus membawa harapan negara menggenggam pingat emas sulung Malaysia.

Pelumba kelahiran Johor itu mengesahkan slot ke separuh akhir selepas menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga dalam aksi suku akhir, di Velodrom Saint Quentin en Yvelines.

Beliau berada di belakang pelumba Britain, Jack Carlin dan Australia, Matthew Glaetzer, masing-masing menamatkan perlumbaan pada tempat pertama dan kedua. Turut layak ke suku akhir, pelumba Jepun, Ota Kaiya, yang berada pada kedudukan keempat.

Shah Firdaus, 28, terpaksa beraksi di repechage kerana disingkirkan pada pusingan pertama kerana berada di garisan biru dan diberi amaran kerana memaksa pelumba lain terkeluar trek dengan memasuki laluannya.

Kemaraan pemenang dua pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu, mengubat kedukaan rakyat Malaysia susulan sandaran utama pingat emas Malaysia, Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaannya pada saringan pertama kerana kesalahan melintas derny (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek.

Azizulhasni, yang digelar ‘Pocket Rocketman’, menjadi prospek kontinjen negara membawa pulang emas, sebagai tambahan pingat perak dan gangsa, pernah dimenanginya pada Sukan Olimpik sebelum ini.

Aksi separuh akhir acara keirin akan berlangsung sekitar 6.30 petang ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.