Shah Firdaus galas harapan emas, layak ke akhir keirin

Shah Firdaus galas harapan emas, layak ke akhir keirin

Pelumba trek negara berada dalam kedudukan tiga terbaik dalam saingan separuh akhir selepas pelumba Jepun, Ota Kaiya, menerima dua amaran.

Shah Firdaus Sahrom
Shah Firdaus Sahrom lolos ke akhir dalam acara keirin lelaki pada Olimpik Paris 2024, hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelumba trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mara ke peringkat akhir, sekali gus membawa harapan pingat kepada kontinjen negara, pada Olimpik Paris 2024.

Beliau berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik dalam pusingan kedua separuh akhir, walaupun menamatkan perlumbaan pada kedudukan keempat, memandangkan Ota Kaiya dari Jepun mendapat status ‘disingkirkan’ (REL) kerana menerima dua amaran.

Dalam saingan itu, pelumba Matthew Richardson dari Australia berada unggul di tempat pertama, diikuti Harrie Lavreysen (Belanda), dan Shah Firdaus, di Velodrom Saint Quentin en Yvelines.

Turut layak ke akhir, pelumba dari Britain, Jack Carlin, Matthew Glaetzer (Austria), dan Shinji Nakano (Jepun), yang berada dalam kelompok tiga teratas, pada pusingan pertama separuh akhir.

Kemaraan pemenang dua pingat gangsa di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu, mengubat kedukaan rakyat Malaysia susulan sandaran utama pingat emas Malaysia, Azizulhasni Awang dibatalkan penyertaannya pada saringan pertama kerana kesalahan melintas derny (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek.

Azizulhasni, yang digelar ‘Pocket Rocketman’, menjadi prospek kontinjen negara membawa pulang emas, sebagai tambahan pingat perak dan gangsa, pernah dimenanginya pada Sukan Olimpik sebelum ini.

Penentuan pingat acara keirin dijangka berlangsung sekitar 7.30 malam ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.