
Shah Firdaus jatuh dalam usahanya menempatkan posisi pada kedudukan mendapat pingat pada pusingan akhir perlumbaan.
Bagaimanapun, beliau diberi status ‘REL’ (disingkirkan) kepada kedudukan keenam.
Emas dirangkul pelumba Belanda, Harrie Lavreysen, perak dan gangsa masing-masing diraih wakil Australia, Matthew Richardson dan Matthew Glaetzer.
Pelumba Britain, Jack Carlin dan pelumba Jepun, Shinji Nakano, gagal menamatkan perlumbaan kerana terjatuh.
Pada aksi separuh akhir, Shah Firdaus ‘bernasib baik’ mara ke pusingan akhir kerana berjaya menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik, walaupun menamatkan perlumbaan pada kedudukan keempat.
Situasi itu berlaku memandangkan Ota Kaiya dari Jepun mendapat status REL kerana menerima dua amaran, menjadikan pelumba itu pula berada pada kedudukan keempat.
Shah Firdaus menggalas beban berat membawa pulang emas, selepas penyertaan sandaran utama negara, Azizulhasni Awang, pada saringan pertama keirin dibatalkan kerana kesalahan melintas derny (motosikal berkuasa elektrik bertindak sebagai pacer) sebelum derny meninggalkan trek.
Dengan berakhirnya perjuangan Shah Firdaus, kempen negara pada Olimpik edisi kali ini sekadar membawa pulang dua gangsa dalam badminton, menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Lee Zii Jia (perseorangan).