Azizi sokong calon BN dari jauh

Azizi sokong calon BN dari jauh

Bekas Adun Nenggiri mengarahkan ahli keluarganya membantu kempen calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani di PRK.

azizi
Mohd Azizi Abu Naim menang Parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri atas tiket Perikatan Nasional sebelum berpaling tadah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)
GUA MUSANG:
Walaupun kelibatnya tidak kelihatan di Nenggiri, bekas Adun Mohd Azizi Abu Naim memberi komitmen dan sokongan dari jauh kepada calon Barisan Nasional (BN) pada PRK 17 Ogos ini.

Timbalan Pengarah PRK BN Nenggiri, Mohd Syahbuddin Hashim, berkata tindakan Azizi tidak terlibat secara langsung dalam kempen mungkin kerana Ahli Parlimen Gua Musang yakin kekuatan jentera gabungan itu untuk memenangi pilihan raya.

Katanya, bagaimanapun Azizi mengarahkan ahli keluarganya membantu kempen calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

“Pada peringkat awal apabila dia kata beri sokongan kepada calon BN maka saya ajak (Azizi) kempen sama tetapi mungkin beliau berpandangan cukup dengan jentera BN turun maka setakat ini beliau melakukannya secara belakang tabir.

Mohd Syahbuddin Hashim pada sidang media di bilik gerakan utama BN di Bukit Cekati.

“Saya ada jumpa keluarga YB Azizi dan mereka menyatakan Azizi beri sokongan kepada calon BN, dan minta ahli keluarga turut bersama berkempen untuk calon BN,” katanya pada sidang media di bilik gerakan utama BN di Bukit Cekati.

Azizi menang Parlimen Gua Musang dan DUN Nenggiri atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya lalu sebelum berpaling tadah menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

PRK Nenggiri diadakan selepas DUN Kelantan pada 19 Jun lalu mengisytiharkan kerusi itu kosong apabila dimaklumkan Azizi bukan lagi ahli Bersatu, susulan kegagalannya mengisytiharkan kesetiaan kepada parti.

Ku Li turun Selasa

Sementara itu, Syahbuddin berkata Pengarah PRK BN Nenggiri Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li akan mula turun padang bertemu pengundi Selasa ini.

Katanya, walaupun Ku Li tidak berada bersama jentera kempen buat masa ini, bekas Ahli Parlimen Gua Musang sentiasa memantau dan laporan harian dihantar kepadanya.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan dua penjuru antara Azmawi dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail.

Seramai 20,259 pemilih layak mengundi terdiri 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.