
Adun Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, mempersoalkan kelewatan projek itu yang dirasmikan pada 10 Sept 2020 sedangkan syarikat pemaju bertanggungjawab membangunkannya diberi tanah ladang hutan untuk diteroka seluas 2,889 ekar.
“Persoalan saya, apakah kelulusan projek ladang hutan 2,889 ekar kepada syarikat pemaju ini sebahagian komitmen usahasama kerajaan Kelantan untuk membolehkan bandar perabot ini menjadi kenyataan?
“Saya amat mengharapkan bandar perabot ini menjadi kenyataan walau cepat atau lambat, dan saya menaruh sedikit kebimbangan sebagai wakil rakyat Galas sekiranya gagal (bandar perabot), tapi projek ladang hutan sahaja yang menjadi kenyataan oleh pemaju atau penggerak projek.

“Sebagai Adun pembangkang BN Kelantan saya mahu perkara ini dijawab terus oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Bukit Cekati.
Syahbuddin berkata, projek di Kawasan Perindustrian Gua Musang bawah DUN Galas itu sepatutnya bermula pertengahan 2022 selepas majlis pecah tanah pada 2020.
Beliau pernah membangkitkan perkara itu di persidangan DUN Kelantan pada 2022 dan kerajaan negeri memaklumkan kelewatan berpunca akibat negara dilanda Covid-19.
“Saya mengambil peluang bertanya isu ini melalui sidang media kerana menyedari ruang yang terhad kepada saya diberikan semasa sidang DUN Kelantan dalam menyatakan secara jelas mengenai perkara ini sebelumnya,” katanya yang menyokong projek itu kerana mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan.