Sediakan ATM walau apa pun keputusan PRK, harapan penduduk Nenggiri

Sediakan ATM walau apa pun keputusan PRK, harapan penduduk Nenggiri

Penduduk juga tidak mahu isu ATM dipolitikkan kerana ia untuk kepentingan semua.

gua musang
Masalah penduduk Nenggiri dapat perhatian Kementerian Kewangan apabila luahan mereka dilaporkan FMT baru-baru ini. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Beberapa penduduk Nenggiri berharap mesin juruwang automatik (ATM) disediakan di DUN itu nanti walau apa pun keputusan pilihan raya kelak.

Fatimah Azra Mohamad, 36, dari Kampung Jerek mendedahkan beliau menahan kegembiraan selagi mesin belum dipasang dan beroperasi.

“Kami berhak mendapat kemudahan itu memandangkan kami ini sebagai pembayar cukai,” katanya kepada FMT.

Kipli Isa, 54, dari Kampung Bertam Baru tidak sangka luahannya yang dilaporkan FMT akan mendapat perhatian kerajaan.

Kipli Isa
Kipli Isa.

Tukang kebun itu berharap isu ATM tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak, kerana ia untuk kepentingan semua penduduk.

“Kalau ada ATM ini penyokong Barisan Nasional pun boleh guna, penyokong PAS pun perlu,” katanya.

Masalah membelenggu penduduk Nenggiri mendapat perhatian Kementerian Kewangan yang memaklumkan pengaktifan perkhidmatan ATM akan disegerakan bagi memenuhi keperluan mereka.

Pengumuman itu menyusuli perbincangan dengan beberapa bank tempatan, yang memberikan respons positif.

FMT melaporkan penduduk Nenggiri berdepan kesukaran mengeluarkan wang dan melakukan transaksi perbankan lain susulan ketiadaan ATM, ditambah pula akses internet kurang memuaskan.

Habidin Hanipa
Habidin Hanipa.

Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa keluar lebih 50km ke bandar Gua Musang serta Dabong untuk mengeluarkan wang dengan ada antaranya terpaksa membayar tambang kereta sewa sekitar RM50 kerana tiada kenderaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Habidin Hanipa, berkata pihaknya tentu berterima kasih atas sesuatu yang memanfaatkan rakyat.

“Laksanakan terus ATM. Jangan tunggu kena menang dulu. Kalau nak buat, buat terus. Malah isu ini sepatutnya lama diselesaikan,” katanya, yang ditemui ketika berkempen di Renok Baru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.