Masyarakat India paling kuat sokong pengampunan ‘Bossku’, menurut tinjauan

Masyarakat India paling kuat sokong pengampunan ‘Bossku’, menurut tinjauan

Walaupun Najib Razak dapat sokongan majoriti pengundi BN dan sebahagian Melayu serta Bumiputera Muslim, sentimen keseluruhan adalah menentang usaha pengampunan.

najib razak
Pendapat awam mengenai permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak berpecah mengikut garis etnik dan politik, menurut tinjauan Merdeka Center. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Masyarakat India paling kuat menyokong pengampunan diraja bekas perdana menteri Najib Razak dengan 62.2% responden, menurut tinjauan badan pemikir Merdeka Center.

Tinjauan dikendalikan NGO Projek Sama itu dijalankan dari 27 Mac hingga 17 April membabitkan 1,210 responden dari 222 kawasan Parlimen.

Menurut tinjauan itu, pendapat awam mengenai permohonan pengampunan Najib berpecah mengikut garis etnik dan politik.

Walaupun Najib mendapat sokongan majoriti pengundi Barisan Nasional (BN) dan segmen komuniti Melayu serta Bumiputera Muslim, sentimen keseluruhan adalah menentang usaha pengampunannya.

“Sebanyak 57.8% daripada responden menentang permohonan pengampunan Najib, dengan alasan pengkhianatan terhadap kepercayaan awam, kes mahkamah yang masih berjalan, dan keengganannya untuk mengaku bersalah.

“Sebaliknya, hanya 32.7% menyokong pengampunan, kebanyakannya atas alasan sumbangan Najib kepada negara,” kata Thomas Fann yang mengetuai Projek Sama.

Bumiputera Muslim yang menyokong pengampunan Najib adalah 50.5% manakala orang Melayu 43%. Sebaliknya, 95% responden Cina dan 51% Bumiputera bukan Muslim menentang usaha itu.

Najib disabitkan bersalah menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd dan menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.

Pada 2 Feb tahun lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengumumkan hukuman penjara bekas Ahli Parlimen Pekan itu dikurangkan dari 12 ke enam tahun, dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Fann berkata, kebanyakan responden di kawasan bandar iaitu 63.6%, menentang pengampunan Najib.

“Responden yang menentang cadangan pengampunan Najib merangkumi kumpulan berpendapatan tinggi sebanyak 69.5% hingga 74.7%, serta pekerja sektor swasta dan bekerja sendiri 63.2% hingga 64.5%,” katanya.

Tinjauan itu juga menilai pandangan mengenai keadilan dalam menjatuhkan hukuman dengan membentangkan dua kes berbeza: seorang pemandu lori dipenjara tiga tahun kerana mencuri pisang, dan pemimpin dipenjara 12 tahun serta didenda RM210 juta kerana penyelewengan.

Kebanyakan responden, iaitu 54.8%, menyatakan hukuman terhadap kes kecurian itu terlalu berat, manakala 44.3% berpendapat hukuman kes penyelewengan adalah wajar. Sebanyak 40.8% lagi mengatakan hukuman itu terlalu ringan.

Secara keseluruhan, 85.1% daripada responden tidak melihat sebarang justifikasi untuk pengurangan hukuman dalam kes rasuah berprofil tinggi itu.

Tinjauan itu juga mendedahkan perbezaan pendapat tanpa mengira fahaman politik, dengan penyokong BN sendiri menunjukkan sokongan terhad terhadap kelonggaran hukuman.

“Malah dalam kalangan penyokong BN, 48.9% mendapati hukuman itu adil dan 32.8% menganggapnya terlalu ringan – menekankan sokongan kuat orang ramai terhadap hukuman tegas dalam kes rasuah, tanpa mengira fahaman politik,” kata Fann.

Penyelidik Merdeka Center, Tan Seng Keat, berkata sampel seramai 1,210 responden itu selaras piawaian tinjauan antarabangsa dan mencerminkan sentimen umum orang ramai, walaupun kumpulan fokus susulan diperlukan untuk meneliti dapatan tersebut lebih mendalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.