
Ini antara cadangan HBA untuk menangani masalah pemilik kedai di Petaling Jaya Old Town yang diminta mengeluarkan hampir RM1 juta bagi melanjutkan pajakan mereka.

Setiausaha Agung HBA, Chang Kim Loong, berkata Pulau Pinang mula menawarkan diskaun 50% hingga 80% ke atas premium untuk melanjutkan pajakan hartanah komersial tahun lalu.
Beliau menggesa kerajaan Selangor mengenakan bayaran nominal RM5,000 untuk pembaharuan atau mencontohi skim diskaun Pulau Pinang berdasarkan nilai pasaran semasa hartanah.
Katanya, ini munasabah memandangkan Selangor membenarkan penduduk PJ Old Town memperbaharui pajakan mereka dengan bayaran hanya RM1,000.
Chang yang mewakili pemilik kedai di PJ Old Town menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada Mei 2022, merayu bayaran nominal dikenakan untuk melanjutkan pajakan 60 tahun hartanah komersial.
Sebelum ini, Amirudin dilaporkan memberitahu sidang DUN bahawa kerajaan Selangor sedang meneliti cara menjadikan lanjutan pajakan lebih berpatutan, khasnya buat hartanah komersial.
Menurutnya, perkara itu akan dirujuk kepada Pejabat Tanah Selangor, dengan keputusan berhubung formula baharu premium akan ditentukan menjelang bulan depan.
Hak milik bebas matlamat akhir
Chang berkata, keutamaan kini ialah memastikan pemilik kedai dilanjutkan pajakan pada harga berpatutan memandangkan ada yang akan tamat tempoh akhir tahun ini.
Tetapi, katanya, matlamat akhir ialah tanah pajakan di PJ ditukar kepada pegangan bebas berdasarkan hak milik tanah asal kawasan itu.
Beliau berkata, tanah di PJ pernah menjadi ladang getah milik Effingham Estate dan hak milik asal ialah pegangan bebas, tetapi ada individu di pejabat tanah didakwa menukar sebahagian tanah itu kepada pajakan.
Walaupun bersedia ke mahkamah, tetapi beliau berharap ia tidak perlu memandangkan terdapat duluan dalam kes membabitkan Taman Bukit Maluri dan Sri Petaling di Kuala Lumpur.
Pada 2022, Mahkamah Tinggi memerintahkan Pejabat Tanah dan Galian KL menukar hak milik 24 rumah di Taman Bukit Maluri kepada pegangan bebas, selepas mendapati syarat pajakan 99 tahun ke atas tanah itu tidak sah.
Tahun berikutnya, Mahkamah Tinggi membuat keputusan sama dengan mengisytiharkan 7,000 lot tanah yang dipecahkan secara tidak wajar kepada tanah pajakan daripada tujuh hak milik bebas.
“Jika saya perlu pergi ke mahkamah, saya bersedia. Tetapi, jika saya boleh meyakinkan menteri besar untuk bersetuju (menukar hak milik), maka kita semua boleh jimat banyak masa dan wang. Mengapa perlu ke mahkamah sedangkan sudah ada duluan?” kata Chang sambil menambah penukaran hak milik boleh ditawarkan dengan bayaran nominal antara RM5,000 hingga RM10,000.