Zuki Ali tamatkan khidmat selepas 32 tahun

Zuki Ali tamatkan khidmat selepas 32 tahun

Zuki Ali sempat berkhidmat dengan dua Agong dan empat perdana menteri.

Zuki Ali bersara daripada perkhidmatan awam secara rasmi hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mohd Zuki Ali menyatakan kesediaan untuk terus berkhidmat untuk negara, meskipun bersara daripada perkhidmatan awam secara rasmi hari ini.

Beliau yang menamatkan khidmat sebagai ketua setiausaha negara berkata tempoh 32 tahun tujuh bulan dalam perkhidmatan awam satu pengalaman mencabar dan manis buat dirinya.

“Saya rasa syukur kerana sepanjang tempoh berkhidmat sebagai ketua setiausaha negara, banyak pengalaman saya lalui dan hikmah saya dapat.

“Saya sempat berkhidmat dengan dua Yang di-Pertuan Agong dan empat orang perdana menteri.. Insya-Allah saya akan bersedia untuk berikan apa juga khidmat dan nasihat pandangan jika masih diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas sesi clock out di Bangunan Perdana Putra.

Turut hadir Shamsul Azri Abu Bakar yang dilantik sebagai ketua setiausaha negara yang baharu berkuat kuasa 12 Ogos.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilapor berkata Zuki akan diberikan tugasan penting lain bagi membantu kerajaan, namun tidak memperincikannya.

Sementara itu, Zuki merakamkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri, Jemaah Menteri, dan warga perkhidmatan awam yang membantunya ketika berkhidmat sebagai ketua setiausaha negara.

“Warga penjawat awam perlu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin bagi menjayakan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Zuki turut merakamkan ucapan tahniah kepada Shamsul atas pelantikan beliau sebagai ketua setiausaha negara yang ke-16.

“Saya amat yakin dan percaya perkhidmatan awam akan terus cemerlang dan gemilang di bawah kepimpinan Shamsul,” katanya.

Dalam catatan di Facebook, beliau turut merakam penghargaan kepada media yang sentiasa memberi sokongan kepada beliau sepanjang memegang amanah sebagai ketua setiausaha negara.

Zuki, 62, mula memegang jawatan sebagai KSN pada 31 Dis 2019 dan dilantik semula secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.