
Yap Kim Heng, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Maimoonah Aid, menurut Sinar Harian.
Mengikut kertas pertuduhan, dia yang juga ketua Gerakan Pahang didakwa pecah amanah atas kapasiti sebagai timbalan pengerusi KABA apabila tidak memasukkan bayaran sewaan gerai oleh penyewa berjumlah RM1,350 hingga RM2,600 ke dalam akaun bank persatuan sebaliknya menyerahkan lima cek diterima kepada isteri dan anak untuk ditunaikan ke akaun bank masing-masing.
Dia juga didakwa tunaikan satu cek bayaran sewaan gerai persatuan berjumlah RM4,200 ke akaun milik peribadi sedangkan wang dengan jumlah keseluruhan RM15,950 itu perlu dimasukkan ke akaun KABA.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Jalan Air Putih di sini antara Mei 2018 hingga Jun 2021.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta denda.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 bagi semua pertuduhan terhadap tertuduh.
Beliau juga memohon syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh iaitu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan hingga kes selesai.
Tertuduh yang diwakili peguam Bala Bedha bagaimanapun merayu agar jumlah itu dikurangkan dengan kadar paling minimum kerana anak guamnya telah bersara dan bergantung kepada komisyen serta elaun daripada pekerjaannya terdahulu untuk menyara keluarga.
Maimoonah membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM18,000 dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes.