
Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris, berkata berdasarkan siasatan anggota polis berusia 27 tahun itu cedera di tepi telinga kiri selepas seorang pegawai kanan polis berpangkat inspektor telah terlepas tembakan dan terkena mangsa, kira-kira 2.15 petang.
Beliau berkata mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Dungun, Terengganu itu sedang menjalani kursus pengendalian senjata api bersama 46 pelatih ketika kejadian.
Azizi berkata selepas kejadian tersebut, beberapa jurulatih termasuk pasukan perubatan telah memberi rawatan awal kepada mangsa, bagi menghentikan pendarahan.
“Mangsa yang mengalami luka di tepi telinga kiri telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan lanjut. Setakat ini mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan menerima rawatan pesakit luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizi berkata latihan menembak yang disertai pegawai dan anggota polis itu, melibatkan teori pengendalian senjata api dan latihan tembak statik hadapan jarak tujuh meter.
Beliau berkata semasa latihan disambung pada sesi petang, pelatih telah diberi arahan untuk mengosongkan senjata, sebelum latihan bermula dengan pengawasan jurulatih.
“Selepas pemeriksaan dilakukan pada senjata dan telah dipastikan tiada peluru, latihan diteruskan dengan ulang kaji teknik memasukkan dan keluarkan peluru dalam keadaan senjata tiada peluru, manakala anggota dalam kedudukan formasi empat barisan.
“Semasa latihan ini sedang dibuat, tiba-tiba terdengar satu tembakan dan telah terkena mangsa,” katanya.
Azizi berkata pihaknya membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.