Pertukaran pegawai tinggi polis, 3 penulis portal dirakam keterangan esok

Pertukaran pegawai tinggi polis, 3 penulis portal dirakam keterangan esok

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata rakaman keterangan daripada tiga individu terbabit akan diambil di IPD Dang Wangi.

razarudin husain
Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata setakat ini polis mengambil keterangan daripada pengadu dan siasatan lanjut akan dilakukan.
KUALA LUMPUR:
Polis akan merakam keterangan tiga penulis dari sebuah portal berita berhubung laporan pertukaran kepimpinan tertinggi dalam pasukan polis, esok.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain ketika dihubungi berkata rakaman keterangan daripada tiga individu terbabit akan diambil di IPD Dang Wangi pada 2.30 petang.

“Setakat ini polis mengambil keterangan daripada pengadu dan siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya.

Selasa lepas, polis menafikan ada mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung laporan sebuah portal berita dalam talian yang mendakwa pasukan keselamatan itu merancang pertukaran melibatkan kepimpinan tertingginya.

Terdahulu, sebuah portal berita dalam laporannya mendakwa Timbalan Ketua Polis NegaraAyob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain antara nama yang bakal ditukarkan ke agensi lain di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Razarudin turut mengingatkan pengamal media supaya tidak membuat laporan atau berita spekulasi sehingga boleh menimbulkan fitnah dan khianat kepada pihak lain.

“Kita memahami tanggungjawab pengamal media sebagai perantara dalam menyampaikan berita kepada masyarakat namun perlu dilakukan dengan beretika,” katanya.

Beliau berkata sekiranya berita dilaporkan menimbulkan khianat atau fitnah, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas yang boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM), Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan peruntukan sedia ada.

Menurut beliau, di bawah Seksyen 233 AKM, mereka yang berkenaan boleh dihukum denda tidak lebih RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit bersalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.