Ketua Suhakam baharu sasar ratifikasi ICERD, Konvensyen Pelarian

Ketua Suhakam baharu sasar ratifikasi ICERD, Konvensyen Pelarian

Hishamudin Yunus berharap Malaysia dapat menandatangani perjanjian antarabangsa penting sebelum penggalnya berakhir pada Julai 2027.

Hishamudin Yunus
Pengerusi Suhakam Hishamudin Yunus berharap dapat menyemai kesedaran lebih besar tentang hak asasi manusia dalam diri rakyat Malaysia. (Gambar MyCC)
PETALING JAYA:
Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Hishamudin Yunus berharap kerajaan akan menandatangani perjanjian antarabangsa penting merangkumi diskriminasi kaum dan pelarian sebelum penggal tiga tahunnya tamat pada Julai 2027.

Hishamudin yang dilantik awal bulan lalu berharap Malaysia akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan Konvensyen Pelarian 1951 dalam tempoh penggalnya.

ICERD mewajibkan pihak-pihak menghapuskan segala bentuk diskriminasi kaum, termasuk dalam institusi awam dan dasar kerajaan.

Sementara itu, Konvensyen Pelarian 1951 memberikan hak dan perlindungan kepada individu yang melarikan diri daripada penganiayaan di negara asal mereka.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan itu berkata, beliau berharap dapat menyemai kesedaran lebih besar tentang hak asasi manusia dalam diri rakyat Malaysia. Beliau juga mahu kerajaan menjadikan hak asasi manusia sebagai salah satu keutamaannya.

“Juga perlu ada pemahaman yang lebih mendalam tentang hak asasi manusia oleh agensi kerajaan, dan dasar mesra hak asasi manusia,” katanya kepada FMT.

Hishamudin berkata, setiap masyarakat wajib menegakkan hak asasi manusia.

“Hanya melalui kesedaran seperti itu individu yang haknya dicabuli tahu bahawa mereka boleh mengemukakan aduan kepada Suhakam.

“(Ini akan) membolehkan kami menjalankan siasatan yang relevan dan mengemukakan syor berkaitan kepada kerajaan atau badan berkenaan,” katanya.

Hishamudin turut berharap dapat menyelia penyertaan Malaysia dalam beberapa konvensyen teras lain berkait hak asasi manusia pada peringkat antarabangsa, termasuk Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Maruah (CAT), Konvensyen Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, dan Konvensyen Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya.

Pada November 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) berpatah balik dalam komitmennya untuk meratifikasi ICERD. Keputusan itu dibuat berikutan bantahan berminggu-minggu diketuai kumpulan yang mendakwa langkah sedemikian akan menjejaskan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, termasuk berkenaan kuota kaum di institusi awam.

Penunjuk perasaan membantah garis masa ICERD untuk negara anggota menamatkan program dan manfaat tindakan afirmatif, yang menurut mereka akan membawa kepada pemansuhan dasar pro-Bumiputera yang sudah diamalkan berdekad lamanya di Malaysia.

Malaysia juga tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 kerana kerajaan menganggap pelarian dan pencari suaka sebagai pendatang tanpa izin atau tanpa dokumen bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Asas konvensyen itu ialah prinsip ‘non-refoulement’, yang menyatakan pelarian tidak boleh dikembalikan ke negara di mana mereka menghadapi ancaman serius terhadap nyawa atau kebebasan mereka. Hak lain terkandung bawah konvensyen itu merangkumi penempatan, pekerjaan dan pendidikan.

Hishamudin berkata, Suhakam menyokong dasar yang akan membolehkan kanak-kanak pelarian dan tanpa kerakyatan mendapat akses kepada pendidikan.

Katanya, suruhanjaya itu akan terus menggesa perubahan perundangan dan pembaharuan berhubung hak tanah orang asal, sistem penjara dan Akta Orang Kurang Upaya 2008.

Suhakam juga akan terlibat secara aktif dengan badan kerajaan dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) – terutama yang terletak di luar Lembah Klang – untuk meningkatkan kesedaran berhubung hak asasi manusia, termasuk mengenai ketersediaan remedi dan akses kepada keadilan.

Hishamudin turut menzahirkan keyakinan bahawa pindaan Akta Suhakam, yang berkuat kuasa bulan lalu akan mengukuhkan peranan dan keupayaan suruhanjaya itu.

“Sebagai suruhanjaya, kami berhasrat memastikan pencabulan hak asasi manusia akan disuarakan dan diselesaikan. Kami juga berharap dapat menambah baik persepsi orang ramai terhadap Suhakam,” katanya.

“Dengan mandat yang diperkukuh, kami akan berusaha memastikan kebebasan Suhakam sebagai (alat) semak dan imbang yang berkesan terhadap kerajaan, selain menjadi penghubung antara orang ramai, NGO dan CSO.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.