
Beliau yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam, berkata kesediaan itu bukan medan meraih populariti, sebaliknya mahu mengembalikan maruah pasukan bola sepak, Kuala Lumpur (KL) City FC.
“Saya menawarkan diri untuk dicalonkan pada kongres tahun ini.
“Saya juga telah mengadakan siri perbincangan dengan tokoh-tokoh korporat, profesional, institusi kerajaan untuk bersama-sama wakil kelab gabungan untuk mengemudi KLFA,” katanya dalam hantaran video di TikTok.
Pada 15 Mac lalu, Khalid Samad, yang juga bekas menteri wilayah persekutuan mengumumkan peletakan jawatan presiden KLFA. Pemimpin Amanah itu berkhidmat selaku presiden sejak 2019.
Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata beliau turut terkesan kemelut melanda pasukan KL City FC, yang mendapat perhatian meluas, mutakhir ini.
Beliau berkata, tindakan wajar perlu diambil kepada pasukan KL City yang rata-rata pemainnya telah berjuang berhabis-habisan dalam Liga Malaysia.
“Orang politik datang dan pergi KLFA tetapi bagi kami bukan medan populariti untuk diraih. Ini amanah besar untuk kembalikan kepercayaan peminat,” katanya.
Pada 5 Ogos, skuad The City Boys didenda RM100,000, dipotong enam mata, dan lesen AFC 2024-2025 dibatalkan selepas didapati bersalah menyediakan dokumen tidak tepat dalam proses pemberian lesen kebangsaan, menurut Jawatankuasa First Instance Body (FIB).
FIB mendapati KL City menyerahkan dokumen caruman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso yang mengandungi maklumat tidak tepat/tidak benar, lapor Harian Metro.