
Ketua Polis Johor M Kumar berkata lelaki berusia 31 tahun itu akan menghadapi 15 pertuduhan selepas dua kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mendapat arahan pertuduhan.
“Suspek akan menghadapi masing-masing satu pertuduhan mengikut Seksyen 363 dan Seksyen 346 Kanun Keseksaan, tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan, empat pertuduhan mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak, satu pertuduhan mengikut Seksyen 10 akta sama, dan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 15(a)(ii) akta itu,” katanya dalam kenyataan.
Lelaki tersebut ditahan pada 4.45 pagi, 23 Julai lepas, di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor bersama kanak-kanak berkenaan.
Ahad lepas, suspek dilepaskan dengan jaminan polis selepas tempoh remannya selama 13 hari tamat, namun ditahan semula pada hari sama susulan penemuan pelbagai alat mainan seks, bahan pornografi dewasa, dan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak di kediamannya di Kulai.