Polis tahan lelaki serang bekas teman wanita guna pisau

Polis tahan lelaki serang bekas teman wanita guna pisau

Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera di jari sebelum suspek ditahan orang awam.

kelar
Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki bersenjatakan pisau memegang bekas teman wanitanya dalam kejadian di Bagan Ajam, Pulau Pinang.
BUTTERWORTH:
Polis menahan seorang lelaki dipercayai menyerang bekas teman wanitanya dengan pisau di sebuah pasar raya di Bagan Ajam Ahad lalu yang tular di media sosial.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abdul Rahman, berkata dalam kejadian 8.45 malam, mangsa mengalami kecederaan pada jari kelingking kanan semasa bergelut dengan suspek.

“Suspek berjaya ditangkap orang ramai yang berada di lokasi sebelum anggota polis menahan lelaki berusia lingkungan 30-an itu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 14 saat memaparkan seorang lelaki bersenjatakan pisau mengacukannya ke arah seorang wanita.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian dilihat cuba menenangkan suspek sebelum berjaya menahannya.

Suspek akan didakwa di mahkamah selepas mendapat arahan pendakwa raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.