
Tertuduh yang juga pemegang kad pemastautin tetap (MyPR) berusia 53 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Putra Impiana, Puchong, pada 28 Jul lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 31(1) akta yang sama.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi tempoh 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Nabilla Rosli.
Ahmad Fuad menetapkan RM8,000 sebagai ikat jamin selepas Nabilla memohon jumlah RM15,000 dipohon Nurul Farahin dikurangkan memandangkan tertuduh hanya bergantung kepada perniagaan karpet kecil-kecilan.
Tertuduh juga menanggung seorang isteri dan lima anak berusia 6 hingga 19 tahun.
Tarikh sebutan semula kes pada 4 Sept depan.
Bulan lalu, tular rakaman video berdurasi satu minit 49 saat memaparkan seorang wanita menahan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu seorang remaja lelaki dan turut dinaiki dua kanak-kanak.
Menerusi rakaman itu, kereta terbabit dipandu agak laju ketika melalui bonggol di depan sebuah rumah sebelum diarah oleh wanita berkenaan supaya memberhentikan kenderaan itu.