Aliff Syukri diperintah bela diri tuduhan muat naik kandungan sumbang

Aliff Syukri diperintah bela diri tuduhan muat naik kandungan sumbang

Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Fuad Othman memutuskan pihak pendakwaan berjaya bukti kes prima facie.

aliff syukri
Usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman dituduh memuat naik kandungan sumbang di akaun Instagram miliknya pada 2022. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Mahkamah Sesyen memerintahkan usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman membela diri atas empat tuduhan memuat naik kandungan sumbang ke akaun Instagram miliknya pada 2022.

Hakim Ahmad Fuad Othman membuat keputusan itu hari ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Fuad berkata, pihak pendakwaan telah membuktikan Aliff pemilik dan pentadbir akaun Instagram yang digunakan untuk memuat naik kandungan itu selepas dia menyerahkan butiran pengenalan diri (ID) dan kata laluan akaun itu secara sukarela.

“Untuk menunjukkan tertuduh mempunyai kawalan ke atas akaun itu, dia menyerahkan butiran log masuk dan pengesahan dua faktor kepada saksi pendakwaan keenam (penyiasat).

“(Dengan itu), saksi berjaya mengakses akaun (Instagram) itu,” katanya.

Fuad juga berkata, pakar tidak perlu mentakrifkan istilah ‘tidak sopan’ seperti yang dibangkitkan oleh pihak pembelaan.

“Ia definisi kamus standard. Mengambil kira keadaan apabila video itu dimuat naik, ia tidak sesuai, terutamanya pada Ramadan,” tambahnya.

Mahkamah menetapkan 19, 22 Mei, serta 16 Jun dan 3 Julai untuk perbicaraan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Faten Hadni Khairuddin manakala Aliff Syukri oleh peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Pada 13 Oktober 2022, Aliff Syukri, 38, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya, iaitu aliffsyukriterlajaklaris dengan niat menyakiti hati orang lain.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13, 15, 17 dan 21 April 2022 dan dilihat di pejabat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Cyberjaya, dekat sini, pada 24 April 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.

Ia membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sebelum ini, klip video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri berdurasi lima minit 23 saat itu dianggap warganet mencemari sambutan Aidilfitri dengan gaya keterlaluan oleh penari lelaki lembut berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.