54% dewasa lebih berat badan, WP lancar Bandar Sihat tangani obesiti

54% dewasa lebih berat badan, WP lancar Bandar Sihat tangani obesiti

Menteri Dr Zaliha Mustafa berkata inisiatif itu mahu fokus pada pembudayaan gaya hidup sihat.

Wilayah Persekutuan perkenal inisiatif Bandar Sihat bagi menangani masalah kegemukan, dengan fokus pada membudayakan gaya hidup sihat.
PETALING JAYA:
Wilayah Persekutuan memperkenalkan inisiatif Bandar Sihat dalam usaha menangani masalah kegemukan dalam kalangan rakyat, yang mencapai aras membimbangkan.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 melaporkan 54.5% golongan dewasa berlebihan berat badan; malah 50% penjawat awam di Putrajaya mengalami obesiti, menurut Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa ketika menyentuh angka ‘amat membimbangkan’ itu berkata inisiatif Bandar Sihat mahu fokus pada pembudayaan gaya hidup sihat.

“Penganjuran aktiviti kesukanan perlu digalakkan secara lebih meluas,” katanya kepada FMT.

Inisiatif Bandar Sihat ini terkandung dalam visi Bandar C.H.A.S.E yang diperkenalkan tahun ini, untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan bandar bersih (clean), sihat (healthy), maju (advanced), selamat (safe), dan mesra alam (eco-friendly).

Zaliha berkata pihaknya bersama Kementerian Kesihatan memperkenalkan Pelan Tindakan Bandar Sihat bagi menyediakan persekitaran yang kondusif bagi gaya hidup aktif.

Beliau yang juga bekas menteri kesihatan mencadangkan kerajaan memperkenalkan penilaian kesihatan berkala untuk penjawat awam.

Langkah itu katanya bagi membantu pengesanan awal penyakit, di samping mendorong peralihan daripada ‘sick care’ atau penjagaan pesakit kepada ‘health care’ iaitu penjagaan kesihatan.

“Insya-Allah dengan pelaksanaan ini kita dapat membina budaya kesihatan yang lebih baik dan meningkatkan produktiviti negara,” katanya.

Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat menerusi almanak The World Factbook melaporkan Malaysia muncul sebagai negara ke-2 di Asia Tenggara yang mempunyai ramai rakyat mengalami masalah berat badan, berdasarkan data dari 2016 hingga 2024.

Mengulas data itu, Majlis Keselamatan Negara di laman sesawangnya menulis obesiti menyumbang kepada banyak penyakit antaranya kegagalan jantung, gout, dan tekanan darah tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.