
Beliau berkata, status perbelanjaan pembangunan projek di bawah kementerian terbabit mencatat 87.91% bawah purata nasional dan memerlukan perhatian serius.
“Seramai 14 ketua setiausaha kementerian ini akan saya panggil, dan keputusan ini akan menjejaskan penilaian prestasi mereka melalui DEEP. Projek rakyat seperti pembaikan jalan, pembinaan sekolah, klinik dan hospital telah dilaksanakan, tetapi pelaksanaannya lambat, sebab itu hanya 87% saja dicapai.
“Sebab peruntukan ini kita beri, tapi tidak digunakan sepenuhnya, jadi ia rugi. Sepatutnya dana ini boleh dimanfaatkan untuk projek lain,” katanya selepas menyampaikan Amanat Ketua Setiausaha Negara 2026 di sini.
Beliau berkata, sehingga 22 Dis lalu, sebanyak 9,578 projek pembangunan dilaksanakan dengan peruntukan RM83.06 bilion, manakala prestasi perbelanjaan merekodkan RM81.67 bilion.
Ia menyaksikan purata nasional prestasi perbelanjaan bagi projek pembangunan ialah 98.33%.
DEEP atau Sistem Penilaian Prestasi Demerit diperkenalkan bagi menilai prestasi penjawat awam, dengan demerit dikenakan jika objektif ditetapkan gagal dicapai.