Kos lesen memandu didakwa mahal, menteri digesa campur tangan

Kos lesen memandu didakwa mahal, menteri digesa campur tangan

Naib Ketua Pemuda Gerakan Goh Tee Long berkata kos pengambilan lesen memandu didakwa melambung sehingga RM3,000 bagi lesen kereta.

Goh Tee Long menyarankan kerajaan memperluaskan insentif atau subsidi sedia ada kepada lesen kereta dan GDL, jika isu kos pengambilan lesen memandu tidak dapat ditangani segera.
PETALING JAYA:
Pemuda Gerakan menggesa kerajaan menangani kebimbangan awam terhadap kos pengambilan lesen memandu didakwa melambung sehingga RM3,000.

Naib Ketuanya, Goh Tee Long, berkata Kementerian Pengangkutan yang diketuai Loke Siew Fook perlu campur tangan dan bertindak segera.

Gesaan itu susulan tular satu klip video baru-baru ini yang dimuat naik selebriti tempatan mendakwa sebuah institut memandu mengenakan caj lebih RM3,000 untuk mendapatkan lesen kereta.

“Individu yang memuat naik (video) itu boleh dikategorikan sebagai T20 ataupun mempunyai kemampuan pun mengeluh. Bayangkan golongan B40 dan M40 apa perasaan mereka.

“Penting bagi kerajaan untuk campur tangan dan memastikan harga bagi mendapatkan lesen memandu berpatutan dan tidak membebankan rakyat, terutama golongan B40 dan mereka yang berpendapatan sederhana,” katanya dalam kenyataan.

Goh menyarankan kerajaan memperluaskan insentif atau subsidi sedia ada kepada lesen kereta dan GDL (lori), jika isu kos pengambilan lesen memandu tidak dapat ditangani segera.

“Ini bukan sahaja untuk memastikan keadilan sosial, tetapi juga untuk meningkatkan keselamatan jalan raya apabila lebih ramai pemandu dilatih secara formal.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.