Belanjawan 2025: Kerajaan fokus tangani kos sara hidup

Belanjawan 2025: Kerajaan fokus tangani kos sara hidup

Perdana Menteri Anwar Ibrahim beri contoh harga gula, minyak masak, dan tepung Malaysia paling murah, namun rakyat masih terbeban.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata Belanjawan 2025 dijadual dibentang Oktober fokus dasar kurangkan kos sara hidup rakyat. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober fokus usaha menggiatkan lagi dasar mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Bagi tujuan itu, beliau meminta perancang dasar Kementerian Kewangan mencari formula merentasi kementerian demi mengurangkan beban rakyat.

“Harga gula, minyak, tepung, minyak masak kita paling murah, tapi bagi rakyat Malaysia masih rasa terbeban.

“Jadi, sebab itu kita dalam belanjawan ini, selain isu yang kita bicarakan hal ini juga kita harus tangani masalah kartel, monopoli, apa punca harga barang naik,” kata Anwar yang juga menteri kewangan.

“Adakah dari segi baja, benih, semua ini harus kita tangani…maknanya Kementerian Kewangan terutama perancang (dasar) harus memikirkan merentasi kementerian dan pengalaman saudara di bahagian penguat kuasa atau perancang dasar akan lebih faham,” katanya pada majlis himpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan.

Anwar berkata, antara punca kos barang meningkat adalah ketirisan, rasuah, penyeludupan, dan keuntungan berlebihan melalui kartel yang kini sedang cuba diatasi kerajaan menerusi pelbagai pendekatan.

Katanya, antara pendekatan terbabit termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi diesel pada Jun lalu yang menjimatkan perbelanjaan negara RM4 bilion, dan boleh disalurkan kepada program mensejahterakan rakyat.

“Tak mungkin kita tak dapat cari kaedah jalan untuk mengurangkan kos…kos itu meningkat di antara lain tiris, rasuah, seludup, dan keuntungan berlebihan melalui kartel.

“Jadi, apakah boleh kita pada peringkat ini dengan ekonomi yang lebih kukuh dan ampuh mula menerobos ke bidang yang kita anggap penting bagi negara kita,” katanya.

Anwar turut membidas politikus khususnya pembangkang yang mengkritik dasar penyasaran subsidi, yang sebelum ini turut diakui mereka antara langkah terbaik mengurangkan beban kewangan kerajaan.

“Yang bising ini mereka yang tak terkesan…ini hanya senjata politik untuk menikam. Kita tahu semua pentadbiran sebelum ini setuju penyasaran subsidi untuk hentikan ketirisan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata masih ada ruang untuk mana-mana individu terkesan dengan penyasaran subsidi untuk memohon bantuan kerajaan.

“Dalam kalangan peniaga kecil, nelayan, pekebun kecil yang terkesan masih ada ruang untuk mohon untuk kita beri pertimbangan,” katanya.

Dasar berani

Beliau berkata, dasar berani kerajaan itu juga telah memberi keyakinan kepada pelabur asing memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan di rantau ini.

“Keseluruhan saya bersyukur kerana dasar ini telah menyebabkan keyakinan pelabur.

“Bila ada tanggungjawab fiskal seperti penyasaran subsidi, ayam, tarif elektrik itu menyebabkan orang tahu ini tanggungjawab kerajaan untuk ambil pendekatan tidak popular untuk selamatkan ekonomi negara kerana ketirisan terlalu banyak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.