
Mereka terdiri 11 lelaki serta tiga wanita berusia 30 hingga 70 tahun didakwa secara berasingan atas satu atau dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 (1) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohd Syahir Sahab, lapor Berita Harian.
Hukuman memperuntukkan penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, selain dikenakan pelucutan hak dan juga sesi kaunseling.
Prosiding itu adalah sebutan bagi memindahkan kes mengikut daerah masing-masing (dakwaan tempat kejadian) selari dengan Seksyen 67 enakmen sama.
Mereka kemudian dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan dengan dua penjamin.
Pendakwa Syarie Ahmad Wafi Abdullah mengendalikan pendakwaan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, semua individu terbabit ditahan dalam operasi khas di beberapa daerah termasuk Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian pada 1 Ogos lalu.
Dalam serbuan itu, seramai 17 individu ditahan kerana disyaki pengikut ajaran Millah Abraham sebelum dibawa ke jabatan agama untuk disoal siasat.
Sebelum itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengesan penyebaran ajaran Millah Abraham susulan laporan polis diterima berhubung pergerakan anggota kumpulan terbabit.