SPR bincang PRK Mahkota minggu depan

SPR bincang PRK Mahkota minggu depan

Mesyuarat khas itu akan diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada speaker Johor mengenai kekosongan luar jangka kerusi DUN itu.

spr
SPR akan bermesyuarat pada 13 Ogos bagi membincangkan pelaksanaan PRK Mahkota susulan pemakluman kekosongan luar jangka kerusi DUN itu oleh speaker DUN Johor.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 13 Ogos bagi membincangkan pelaksanaan PRK DUN Mahkota.

Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat itu akan diadakan susulan penerimaan pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Johor Puad Zarkashi berhubung kekosongan luar jangka kerusi itu.

“Berdasarkan Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895, Bahagian Kedua, Fasal (5) Perkara 23, kekosongan luar jangka tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari SPR menerima pemakluman berlakunya kekosongan tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian Adun Sharifah Azizah Syed Zain, 63, akibat pendarahan dalaman di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom pada Jumaat lepas.

Beliau memenangi kerusi itu pada PRN 2022 dengan 16,611 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Warisan.

Sharifah Azizah yang juga ketua Wanita Umno Kluang sejak 1993 memenangi kerusi itu pada PRN Johor 2022. Sebelum itu, beliau menjadi Adun Penawar sejak 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.