Wanita warga emas maut disyaki diserang gajah

Wanita warga emas maut disyaki diserang gajah

Misirah Soliman yang berusia dalam lingkungan 60-an dipercayai meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Sri Lukut, Kahang, kira-kira 8 pagi tadi.

Misirah Soliman disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Kahang.
PETALING JAYA:
Seorang warga emas yang mengambil upah menoreh getah dipercayai maut diserang gajah, dalam kejadian di Kampung Sri Lukut, Kahang, pagi tadi.

Mangsa, Misirah Soliman berusia lingkungan 60-an ditemui dalam keadaan badan sudah sejuk oleh pekerja Indonesia, sekitar 8 pagi, dan disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Klinik Kesihatan Kahang.

Anak mangsa Norlaili Salleh, 49, berkata sebelum itu memang ada kejadian gajah masuk kebun dan memakan anak pokok getah dan kelapa sawit berdekatan rumah keluarganya.

Menurutnya, keluarganya reda dengan kejadian itu dan berharap pihak berkuasa seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat mengambil tindakan supaya kejadian sama tidak berulang.

“Dahulu, memang ada orang datang tengokkan, Perhilitan datang, memang ada banyak kali.

“Nak kata tak buat kerja, sudah buat kerja, hujung (kampung) itu hutan simpan, mungkin sebab gajah kekurangan makanan kerana banyak hutan diterokai, jadi seperti ini,” katanya menurut Harian Metro.

Katanya, jenazah ibunya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Lukut, Kahang, hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.