
Penolong Pengarah Operasi Bomba Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.46 pagi melibatkan nahas treler membawa barangan pelbagai terbabas lalu melanggar rumah separuh kekal.
“Sebaik menerima panggilan itu, 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Pekan dan Peramu Jaya bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, seorang wanita berada di bawah runtuhan sebelum operasi menyelamatkan digerakkan. Tiga mangsa yang cedera termasuk pemandu lori dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan,” katanya menurut Berita Harian.
Ismail berkata, mangsa yang dilaporkan berada di bawah runtuhan itu ditemui berada di bawah hadapan lori.
“Mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.