Angkat ‘bendera putih’ saat akhir, Sedar tak tanding PRK Nenggiri

Angkat ‘bendera putih’ saat akhir, Sedar tak tanding PRK Nenggiri

Presiden Sedar Othman Abdillah hadir bersama beberapa penyokong namun tidak serah borang pencalonan sehingga tempoh ditutup 10 pagi.

Presiden Sedar Othman Abdillah
Presiden Sedar Othman Abdillah, berkata partinya tidak jadi bertanding pada saat akhir apabila melihat kekuatan penyokong PN dan BN.
GUA MUSANG:
Parti Sedar Rakyat (Sedar) mengangkat ‘bendera putih’ apabila membuat keputusan menarik diri bertanding PRK Nenggiri 17 Ogos.

Keputusan itu dibuat beberapa minit sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tempoh menyerahkan borang tamat 10 pagi.

Presiden Othman Abdillah, berkata pihaknya membuat keputusan tidak bertanding selepas menyedari peluang menang PRK tersebut tipis, memandangkan jentera Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) terlalu kuat.

“Kita putuskan tarik diri tidak bertanding selepas melihat kekuatan penyokong PN dan BN. Kita sedar kalau kita masuk bertanding pun peluang kita nak menang tipis.

“Awalnya, calon kita sudah siap sedia untuk bertanding dan calon kita anak tempatan Nenggiri. Walaupun kita tak bertanding kali ini, pilihan raya akan datang kita tetap akan masuk,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Othman tiba bersama beberapa penyokongnya di pekarangan Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang sekitar 8 pagi, bagaimanapun tidak masuk dewan tempat penyerahan borang, sebelum dilihat beredar dari kawasan itu.

Sebelum ini, Sedar berkata parti itu akan bertanding PRK Nenggiri, jika kerusi berkenaan hanya ditandingi PN dan BN sahaja.

Katanya, sekiranya kerusi terbabit ditandingi lebih dua calon, parti itu akan mengundur diri.

PRK DUN Nenggiri 17 Ogos menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN dan PAS.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, manakala PAS diwakili bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang, Mohd Rizwadi Ismail.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.