Warga asing bergayut di jeriji balkoni tingkat 10 elak ditahan

Warga asing bergayut di jeriji balkoni tingkat 10 elak ditahan

Lelaki warga Bangladesh itu antara 18 pendatang tanpa izin ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur di Segambut awal pagi tadi.

pati
Antara warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Segambut, awal pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki warga Bangladesh bertindak nekad dengan bergayut di jeriji balkoni rumahnya di tingkat 10 sebuah pangsapuri di Segambut ketika cuba melarikan diri ketika serbuan oleh Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL) awal pagi tadi.

Lelaki berumur 40an itu bagaimanapun berjaya ditarik ke lokasi selamat oleh anggota Imigresen yang melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan sebelum ditahan kerana dokumen perjalanannya telah tamat tempoh serta tidak mempunyai pas pekerja.

Dia merupakan antara 18 pendatang tanpa izin termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang ditahan dalam serbuan di pangsapuri itu.

Pengarah Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata mereka yang ditahan berumur antara dua tahun hingga ke 60 tahun terdiri daripada enam warga Bangladesh, lima termasuk kanak-kanak lelaki dari Indonesia, Sri Lanka (3), Filipina (2) dan masing-masing seorang warga Pakistan dan Myanmar.

Beliau berkata seramai 104 individu diperiksa dalam operasi yang bermula 12 tengah malam dan berakhir 3 pagi tadi.

“Semua yang ditahan dibawa ke pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.

Sementara itu, seorang wakil penduduk yang ingin dikenali sebagai Steve berkata sejak 2019, jumlah warga asing yang mendiami pangsapuri berkenaan semakin ramai sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan kerana mereka sering menimbulkan pelbagai masalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.