Remaja didakwa edar lebih 15kg dadah

Remaja didakwa edar lebih 15kg dadah

Abang Danny Abang Azlan didakwa melakukan kesalahan itu pada 9.24 malam, 19 Julai lepas.

sepang
Seorang remaja, Abang Danny Abang Azlan, 19, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 15.75 kilogram bulan lepas. (Gambar Facebook)
SEPANG:
Seorang remaja berusia 19 tahun berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 15.75 kilogram bulan lepas.

Abang Danny Abang Azlan mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 9.24 malam pada 19 Julai lepas, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Aras2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah 39B(2) akta yang sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguam Darren Ee.

Mahkamah menetapkan 1 Nov depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki tempatan ditahan di KLIA Terminal 2 di sini pada 19 Julai lepas kerana disyaki cuba menyeludup dadah bernilai RM504,000 ke Sarawak.

Ketua Polis KLIA Azman Shari’at berkata remaja berusia 19 tahun itu ditahan selepas imbasan kotak makanan miliknya menunjukkan imej yang mencurigakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.