Pendakwah diperintah bayar RM100,000 kepada aktivis, peguam kerana fitnah

Pendakwah diperintah bayar RM100,000 kepada aktivis, peguam kerana fitnah

Mahkamah Tinggi KL turut memerintahkan aktivis Arun Dorasamy membayar RM100,000 kepada pendakwah Zamri Vinoth Kalimuthu, juga kerana memfitnah.

zamri vinoth arun n siti kasim
Mahkamah Tinggi membenarkan kedua-dua tuntutan Zamri Vinodh Kalimuthu terhadap Arun Dorasamy dan tuntutan balas bersama Arun dengan peguam Siti Kasim terhadap Zamri.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memerintahkan pendakwah Zamri Vinoth Kalimuthu membayar ganti rugi RM100,000 setiap seorang kepada seorang aktivis dan peguam atas kenyataan berunsur fitnah yang dikeluarkannya mengenai mereka.

Hakim Johan Lee mengeluarkan perintah itu dalam tuntutan balas bersama yang dikemukakan oleh aktivis Arun Dorasamy dan peguam Siti Kasim terhadap Zamri selepas mendapati pendakwah itu memfitnah mereka dengan menggelar mereka ‘anti-Islam’.

Dalam tuntutan utama dikemukakan oleh Zamri terhadap Arun pada 2020, hakim mendapati Arun memfitnah pendakwah itu dengan mengaitkannya dengan kes rogol. Johan memerintahkann Arun membayar ganti rugi RM100,000 kepada Zamri.

Dalam penghakimannya, Lee berkata, Arun tidak mempunyai asas untuk mengaitkan Zamri dengan jenayah itu.

“Sehingga dan melainkan seseorang itu disabitkan kesalahan di mahkamah, melabel (seseorang sebagai ‘perogol’) adalah tidak wajar”, katanya.

Berhubung tuntutan balas itu, Johan berkata, Zamri gagal mewajarkan sebab dia menggelar Arun dan Siti ‘anti-Islam’.

“Pelabelan serius sebegitu hanya boleh dibuat oleh pihak yang berkuasa, dan tiada (pihak berkuasa) pernah memutuskan atau mengumumkan perkara ini,” kata hakim itu sambil menambah, tiada ulama dipanggil untuk memberi keterangan berhubung perkara itu.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan Zamri dan Arun menyampaikan permohonan maaf masing-masing di akaun media sosial dan akhbar dalam tempoh 30 hari.

Zamri diwakili oleh Norazali Nordin selaku peguam, manakala Amanda Matthew mewakili Arun dan Siti.

Di luar mahkamah, Zamri memberitahu pemberita, beliau akan membincangkan tindakan seterusnya dengan peguamnya tidak lama lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.