
Katanya, jemputan hanya diterima Setiausaha Agungnya, Amir Hadi melalui e-mel dua hari sebelum program berlangsung.
“Disebabkan waktu terlalu singkat, Muda tidak dapat menghantar wakil untuk hadir sesi libat urus itu,” katanya dalam kenyataan.
Muda turut kecewa dengan tindakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang didakwa mengambil kesempatan memperlekehkan parti itu, kumpulan reformasi pilihan raya Bersih dan NGO lain yang tidak menghadiri sesi libat urus itu.
Fahmi dilaporkan mengkritik Bersih dan Muda semalam kerana banyak mengulas mengenai isu itu, tetapi gagal memberi pandangan dan bertanya soalan di platform rasmi.
Hari ini, Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz mempertikaikan dakwaan Fahmi bahawa Bersih tidak menghadiri taklimat itu.
Katanya, seorang individu mewakili Bersih dan Pusat Kewartawanan Bebas menghadiri taklimat diadakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Minggu lalu, SKMM mengumumkan perkhidmatan media sosial dan pesanan internet mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon lesen mulai semalam, dengan penguatkuasaan akan bermula 1 Jan depan.