‘Ekstrem’ PAS gagalkan Gerakan tarik bukan Melayu, kata penganalisis

‘Ekstrem’ PAS gagalkan Gerakan tarik bukan Melayu, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata langkah menggantikan Gerakan dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS sekalipun tidak mampu tutup 'cacat cela' PN menarik sokongan bukan Melayu.

dominik lau
Bukan salah Gerakan gagal tarik sokongan bukan Melayu, tetapi sikap konservatif PAS dalam perjuangan ideologi politik, kata penganalisis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Cadangan menggantikan Gerakan dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) tidak memberi sebarang makna untuk menutup ‘cacat cela’ akibat gagal meraih sokongan bukan Melayu, kata penganalisis.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata sifat PAS yang ekstrem dan konservatif dalam perjuangan ideologi politik, sebenarnya membawa kegagalan peranan parti mewakili bukan Melayu itu dalam Perikatan Nasional (PN).

“Ketika ini Gerakan diperkotak katikkan oleh PAS kerana tidak berjaya menarik pengundi-pengundi bukan Melayu, tapi ini bukan salah Gerakan, tetapi kerana PAS itu sendiri.

“Jadi, biarpun DHPP menggantikan Gerakan dan menerima ramai ahli-ahli bersekutu atau bukan Melayu, masih sukar untuk PN mendapatkan kepercayaan pengundi bukan Melayu kerana perjuangan PAS yang terlalu retorik selama ini,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, Pemuda PAS Pulau Pinang membangkitkan kegagalan sekutunya memimpin PN negeri dan mendesak Presiden Gerakan Dominic Lau sebagai ketua komponen itu ditukar.

Naib Ketua Pemuda Muhammad Hafiz Alias berkata pihaknya bersetuju melantik ketua Pemuda DHPP Pulau Pinang sebagai alternatif kepada Gerakan kerana parti itu gagal memainkan peranan menarik sokongan bukan Melayu.

Sebelum ini, bekas ketua MIC Negeri Sembilan L Manickam turut mengumumkan keputusannya menyertai PAS melalui DHPP atas alasan parti itu kukuh dan dilihat terbaik buatnya.

Bekas Adun Jeram Padang selama dua penggal itu, berkata ia juga menjadi wadah terus berkhidmat kepada masyarakat khususnya rakyat Negeri Sembilan.

Guna DHPP jadi calon

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berpendapat tidak timbul isu berbangkit seperti Gerakan ‘tak buat kerja’, sekiranya penyertaan pemimpin bukan Melayu ke PN dibuat atas tiket DHPP, dengan menonjolkan diri sebagai penyokong PAS.

“Jika menggunakan saluran parti seperti Gerakan, ia dianggap tak popular dan menjadi liabiliti yang gagal menarik undi.

“Namun, jika menggunakan DHPP ia akan mampu menarik penyokong Melayu-Islam tanpa dibebankan dengan liabiliti parti dahulu, lebih-lebih lagi didukung kuat oleh penyokong tegar PAS,” katanya.

Tambahnya, DHPP juga mampu dijadikan pusat tempat mempromosi diri terbaik bagi pemimpin berkenaan menjadi calon pilihan raya pada masa akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.