Daftar MyDigital ID menerusi aplikasi mudah alih

Daftar MyDigital ID menerusi aplikasi mudah alih

Setelah memuat turun aplikasi tersebut di telefon pintar, pengguna boleh mula mendaftar tanpa perlu mengunjungi kios.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi MyDigital ID melalui Google Play Store atau Apple App Store di telefon pintar mereka. (Gambar MIMOS)
PETALING JAYA:
Rakyat Malaysia boleh mendaftar dengan platform pengesahan dan pengurusan identiti MyDigital ID dalam talian melalui aplikasi mudah alihnya.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi MyDigital ID melalui Google Play Store atau Apple App Store di telefon pintar mereka dan memulakan proses pendaftaran tanpa perlu mengunjungi mana-mana kios.

“Selepas mendaftar untuk MyDigital ID, rakyat Malaysia tidak perlu lagi log masuk ke platform berbeza dengan kata laluan berbeza. Hanya satu sistem pengesahan diperlukan untuk log masuk ke aplikasi atau portal.

“Selain itu, menerusi integrasi semasa MyDigital ID dengan MyJPJ, pengguna yang berdaftar dengan MyDigital ID tidak lagi perlu melakukan pengesahan biometrik lain di mana-mana kaunter JPJ,” menurut MyDigital ID, lapor Bernama.

Tambahnya, selain MyJPJ, sistem MyDigital ID kini telah diintegrasikan dengan beberapa aplikasi kerajaan seperti Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) Mudah Alih, MySejahtera dan portal MyGov, dan akan menyaksikan lebih banyak integrasi dengan perkhidmatan kerajaan lain dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd Mohd Mirza Mohamed Noor berkata, kaedah pendaftaran secara dalam talian itu adalah satu lagi kejayaan bagi syarikat itu dan negara ke arah mencapai penyelesaian identiti digital yang selamat serta lancar.

“Apa yang membezakan MyDigital ID daripada sistem pendaftaran sedia ada adalah dengan memiliki sijil MyDigital ID, pengguna akan terlindung daripada penipuan dalam talian dan kecurian identiti kerana sijil digital diletakkan pada peranti peribadi pengguna apabila rujukan pendaftaran berjaya ke pangkalan data yang dipercayai oleh kerajaan,” katanya.

MyDigital ID turut menekankan, syarikat itu tidak menyimpan sebarang data biometrik penggunanya, selain mengumpul, memantau atau menyimpan data peribadi.

Pada masa sama, katanya, pihaknya akan memastikan pengguna tidak memiliki lebih daripada satu identiti digital sebagai langkah keselamatan.

“Sistem MyDigital ID akan digunakan bagi mengesahkan identiti pengguna untuk log masuk ke platform serta transaksi kerajaan, dan data tidak akan dikumpul,” katanya.

“Sistem itu akan hanya membandingkan maklumat yang terkandung dalam MyKad dan cap jari pengguna dengan data sedia ada yang disimpan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semasa proses pendaftaran,” katanya.

Pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada November lepas, MyDigital ID diiktiraf pada peringkat nasional sebagai bentuk pengurusan pengenalan digital yang dipercayai, menyediakan pengesahan yang selamat untuk transaksi dalam talian dan menangani kelemahan yang terdapat dalam sistem pengesahan identiti secara dalam talian sedia ada.

Selepas itu, kios pendaftaran MyDigital ID ditempatkan di 200 cawangan JPN, lapan cawangan Pusat Sebaran Maklumat Nasional serta 357 cawangan Tealive di seluruh negara.

Setakat ini, lebih 600,000 orang telah mendaftar dengan MyDigital ID.

Untuk maklumat lanjut mengenai MyDigital ID, orang ramai boleh melayari www.digital-id.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.