‘Usah jadi bacul’, Anwar kecam Meta turun catatan kematian Haniyeh

‘Usah jadi bacul’, Anwar kecam Meta turun catatan kematian Haniyeh

Perdana menteri berkata, tidak masuk akal hantaran menghormati seorang pejuang berusaha memerdekakan tanah airnya dianggap bahaya.

anwar
Hantaran di beberapa akaun media sosial Perdana Menteri, Anwar Ibrahim itu mengandungi video, ucapan takziah serta kritikan berhubung pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh oleh rejim Zionis di Iran semalam.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengecam tindakan Meta sekali lagi menurunkan hantaran video, ucapan takziah serta kritikan di beberapa akaun media sosialnya berhubung pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh di Iran semalam.

Semakan FMT pagi ini mendapati catatan itu hilang daripada akaun Facebook dan Instagram Anwar, tetapi ia masih kekal di platform X.

“Meta sekali lagi bertindak biadab dan menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Almarhum Ismail Haniyeh.

“Tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.

“Peringatan tegas saya terhadap Meta – usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!” tegas Anwar di Facebook pagi ini.

Ini menyusul tindakan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam mengecam Meta, syarikat induk Instagram, menurunkan catatan mengenai pertemuan Anwar dan Haniyeh di Qatar pada 13 Mei lalu.

Anwar melalui media sosial mengucapkan takziah dan memberi penghormatan terhadap Haniyeh yang terbunuh dalam serangan Israel di Tehran.

Beliau turut mengutuk pembunuhan Haniyeh, yang juga ketua Biro Politik Hamas.

Anwar turut berkongsi tangkap layar Meta menurunkan catatannya kerana melanggar garis panduan komuniti platform mengenai individu dan organisasi berbahaya.

Mei lalu, Meta menurunkan hantaran berkaitan pertemuan Anwar dengan Haniyeh, tetapi kemudian mengembalikan catatan itu yang didakwa silap diturunkan.

Sementara itu, hantaran ucapan takziah Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin ke atas pemergian syahid pemimpin Palestin itu turun diturunkan oleh Meta di platform Facebook pagi ini.

Setiausaha Agungnya Hamzah Zainudin berkata rakyat Malaysia menuntut pendirian kerajaan untuk lebih tegas terhadap tindakan syarikat antarabangsa itu.

“Rakyat Malaysia seharusnya melihat ini sebagai satu lagi usaha untuk melemahkan tindakan mengutuk kekejaman dan kezaliman.

“Yang paling penting, rakyat mahu melihat pendirian kerajaan Malaysia yang lebih jelas dan tegas terhadap perlakuan syarikat-syarikat antarabangsa seperti ini. Siapa sebenarnya musuh kita?,” katanya dalam satu kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.