
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noraini Ahmad berkata, sistem itu akan memudahkan mangsa gangguan seksual di seluruh negara memfailkan aduan kepada TAGS dalam talian, mengambil kira kekangan geografi di Sabah dan Sarawak.
“Tribunal ini boleh bersidang pada bila-bila hari, masa dan tempat, sebagaimana ditentukan presiden (tribunal) dan kementerian turut melantik ahli tribunal dari Sabah dan Sarawak.
“Sekiranya ada aduan di negeri pantai timur, tribunal ini boleh bersidang di sana,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator Anna Bell yang ingin tahu pertimbangan kementerian menubuhkan TAGS di Sabah dan Sarawak bagi memudahkan pendengaran kes di sana yang berdepan cabaran geografi.
Menjawab soalan Senator Arman Azha Abu Hanifah berhubung statistik gangguan seksual dan kemerosotan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, Noraini berkata, sehingga bulan lepas, lima aduan gangguan seksual diterima TAGS yang ditubuhkan pada 8 Mac.
“Statistik polis menunjukkan kes dilaporkan bagi kesalahan bawah Seksyen 292, 354, 377D, 507A dan 509 Kanun Keseksaan, iaitu merujuk kes gangguan seksual adalah 1,483 kes pada 2021, 1,455 kes pada 2022 dan 1,621 kes pada 2023.
“Kes gangguan seksual terhadap lelaki yang dilaporkan dari 2019 hingga 2023 (melibatkan) 484 mangsa, iaitu 6.3% bagi keseluruhan kes bagi tahun sama.”